29 September 2013

Aku Mahu Berubah

“Aku nak berubah, tapi aku tunggu datang seru..”

“Ala..rilek la, masih muda lagi. Tunggu tua nanti baru taubat..”

 “Ala..enjoy-enjoy dulu.. lepas kahwin baru berubah..”

“Aku takde kekuatan la nak berubah..”

“Aku masih belum bersedia untuk berubah..”

“Iman aku masih lemah lagi..”

“Aku nak berubah..tapi takut nanti takde siapa nak kawan dengan aku..”

“Nak berubah? Skema la lu bro.. sekarang zaman moden la, apa barang nak jadi orang kampung..”

Biasa dengar irama ayat-ayat macam ni..?

Berubah atau berhijrah, adalah satu ungkapan yang betul-betul buat semua orang teruja. Apatah lagi berhijrah daripada sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Nak berhijrah atau berubah ni tak susah sebenarnya, tetapi untuk kekal dalam perubahan atau penghijrahan itu yang amat sukar. 

Penghijrahan itu perlu Istiqamah. Namun terdapat seribu satu dugaan yang akan dihadapi bagi mereka yang ingin berhijrah ke arah yang lebih baik. Contohnya, dulu dia tidak menutup aurat, tapi pintu hatinya terbuka dengan hidayah Allah dan ingin berubah. Pada hari pertama Alhamdulillah, tetapi disebabkan persekitaran yang memaksa, dia menjadi tergugat dan seterusnya berputus asa untuk berubah. Itulah antara faktor yang mengganggu istiqamah kita, tidak kiralah faktor luaran atau dalaman.

Persoalannya, perlukah kita berubah secara mendadak ataupun beransur-ansur?

Ada yang berpendapat, perubahan perlu dilakukan secara beransur-ansur agar tidak berlaku kejutan pada diri kita dan persekitaran. Bayangkan jika dahulu kita selalu melepak bersama kawan-kawan, tetapi dengan sekelip mata, kita sekarang ini kita tidak mahu lagi berkawan dengan mereka atas alasan tidak mahu membuang masa. Tentu perasaan mereka akan terguris dengan perbuatan kita.

Ada juga yang mengatakan bahawa jika ingin berubah, haruslah secara menyeluruh dan semaksimum mungkin, kerana ajal dan maut itu akan datang pada bila-bila sahaja. (bimbang ajal menjemput sebelum sempat bertaubat)

Bagi aku, kedua-dua pendapat tersebut boleh diterima. Melakukan perubahan tidaklah semudah yang kita bayangkan atau harapkan. Lebih sukar lagi ia membabitkan perkara-perkara besar yang akan menentukan corak hidup dan masa depan kita, perubahan itu akan terasa berat dan sukar.

Untuk persoalan ini, sebenarnya  kita seharusnya melihat skop atau dari sudut apakah yang kita ingin lakukan perubahan itu. Sudut ini terbahagi kepada dua, iaitu berubah dari sudut penampilan dan berubah dari sudut  perangai/gaya hidup. 

Untuk sudut penampilan, kita boleh berubah sepenuhnya tanpa mengikut step. Sebagai contoh,  jika dahulunya kita seorang yang berpakaian tidak menutup aurat, bila kita ingin berubah kita boleh memakai pakaian yang sepenuhnya menutup aurat.

Tetapi bagi sudut perangai dan gaya hidup pula, suka atau tidak,  memang perubahan itu perlu dididik sedikit demi sedikit, kerana ia sudah menjadi berdarah daging dalam diri kita yang sukar untuk diubah.

Ia diibaratkan, jika dari dulu kita menconteng sedikit demi sedikit pada dinding yang luas sehingga pada suatu masa kita ingin membersihkan balik contengan itu, sudah pasti kita tak mampu untuk memadamnya sekaligus. Tetapi kita boleh membersihkannya sedikit demi sedikit,  sehingga contengan itu tidak kelihatan.

Aku akui, perubahan atau penghijrahan ini merupakan suatu yang amat sukar. Namun, keinginan untuk berubah adalah tanda yang ALLAH masih sayangkan kita. Kita perlu yakin bahawa, ALLAH sentiasa bersama kita kerana ALLAH itu Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Berdoalah kepada ALLAH mohon kekuatan daripada NYA semoga perubahan diri kita ini berkekalan. In Sya ALLAH.

"Berubah memang sukar, tetapi istiqamah dalam perubahan itu lebih sukar"

No comments:

Post a Comment