30 September 2013

Thank You ALLAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam ukhwah.

Ramai diantara kita tidak mensyukuri dengan apa yang kita ada, namun apa yang tiada pada kita yang sering kita risaukan. Apa yang berada di depan mata seringkali tidak kita perhatikan, namun apa yang telah pergi sering kita tangisi. Begitulah lumrah manusia.

Syukur manusia kepada ALLAH dimulai dengan menyedari dari lubuk hatinya betapa besarnya nikmat dan anugerah Nya disertai dengan ketundukan dan kekaguman yang melahirkan rasa cinta kepada Nya dan dorongan untuk bersyukur dengan hati, ucapan dan perbuatan.

Bersyukur Melalui Hati
  • Syukur dengan hati dilakukan dengan menyedari sepenuhnya bahawa nikmat yang diperoleh adalah semata-mata kerana anugerah dan kemurahan Ilahi. Syukur dengan hati bermaksud menerima anugerah dengan penuh kerelaan tanpa mengeluh walaupun betapa kecilnya nikmat tersebut. 
Bersyukur Melalui Ucapan
  • Al-Quran telah mengajarkan kita untuk melafazkan "Alhamdulillah" yang bermaksud  segala pujian bagi Allah diatas nikmat yang diberikan kepada kita. Tidak kiralah nikmat itu baik atau sebaliknya, basahkanlah lidah kita menyebut "Alhamdulillah" sebagai tanda syukur kita kehadrat Illahi tuhan segala alam. Ketahuilah ALLAH amat menyayangi hambanya yang selalu merakamkan rasa syukur kepada NYA.
Bersukur Melalui Perbuatan

  • Melalui perbuatan, kita dapat bersyukur kepada Nya dengan menghayati makna syukur itu sendiri. Syukur juga diertikan sebagai “menggunakan anugerah Ilahi sesuai dengan tujuan penganugerahannya”. Hal Ini bererti kita harus dapat menggunakan segala yang dianugerahkan oleh ALLAH di alam raya ini sesuai dengan tujuan ALLAH menciptakannya. Pelajarilah mengapa laut, angin, bumi, dan lain-lain diciptakan ALLAH, kemudian gunakanlah ciptaan itu sebaik mungkin sesuai dengan tujuan penciptaannya seiring dengan kedudukan kita sebagai khalifah dimuka bumi ini.
Perlu diketahui juga, bahawa mengabaikan sikap bersyukur itu akan menjadikan kita itu kufur nikmat. Seseorang yang kufur nikmat akan mendapat kemurkaan ALLAH swt, dan di akhirat nanti ALLAH janjikan azab yang pedih dan menyakitkan. Mereka adalah orang-orang yang kufur, kafir nikmat Allah swt. Janji ALLAH itu pasti. Mahukah kita tergolong didalam kelompok manusia yang dimurkai ALLAH? Tepuklah dada, tanyalah iman.

Bersyukur adalah satu kewajipan, ia bermaksud setiap hamba mestilah bersyukur kepada ALLAH swt atas segala nikmat yang telah diberikan. Salah satu cara untuk bersyukur adalah, dengan melihat hal-hal lain yang berada di bawah kita. Apa yang aku ingin katakan disini adalah sedikit cara meraih rasa syukur itu sendiri. Selalulah melihat yang berada di bawah kita dan jangan melihat yang ada di atas kita. Jika kita yang hanya memiliki sebuah motor, bersyukurlah kerana kita masih dapat memiliki motor dari orang yang hanya berjalan kaki untuk kegiatan hariannya. Dengan hanya berjalan pun perlulah mengungkapkan kesyukuran kerana kita masih memiliki kaki yang sihat dan dapat menampung tubuh kita untuk berjalan. Bahkan, orang yang tidak memiliki kaki pun perlulah merasa bersyukur kepada Allah swt, kerana betapa banyaknya orang yang memiliki kaki namun kedua kakinya hanya digunakan untuk melangkah ke tempat-tempat maksiat dan tidak digunakan untuk melangkah ke tempat-tempat yang baik dan diredhoi Allah SWT.

Nilailah balik diri kita, betapanya tidak bersyukurnya kita pada Yang Maha Esa. Sesungguhnya nikmat Allah yang diberikan akan lebih terasa jika telah kita bersyukur. Oleh kita perlu mensyukuri dan menikmati sekecil apapun kebahagiaan yang kita raih di hari ini kerana belum tentu lagi kebahagiaan serupa ini akan menghampiri kita pada esok hari.
“Renung-Renungkan Dan Selamat Beramal”

Andai Dapat Ku Undur Masa

Begitu pantas masa berlalu, sehingga aku tidak sedar Ahad telah meninggalkan kita dan Isnin datang menjelma. Sewaktu aku set reminder untuk Walimatul Urus sepupu aku di Perak bulan November pada smart phone aku ini, aku terfikir satu perkara yang amat menarik. Seandailah masa boleh diundur kembali. Apa first thing yang korang nak ubah? Walaupun aku tahu, itu tak mungkin berlaku. Tapi anggaplah jika masa itu boleh diundur. 
 
Saat aku menulis coretan ini, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu yang sudah lama aku lupa dan tinggalkan. Sejarah. Andai kata sejarah boleh diubah, sudah pasti saban tahun generasi muda terpaksa menukar buku sejarah mereka. Sekiranya masa boleh diundur, aku pasti semua umat manusia mahu kembali ke zaman silam dan membetulkan segala kesilapan. Jika masa ini boleh dicepatkan, aku juga pasti bahawa kita semua mahu melihat masa depan kita. Dengan siapa kita akan berkahwin dan bagaimana rupa kehidupan kita pada masa itu. Betol tak?

Walaupun kita tidak dapat kembali ke masa lampau, kita seharusnya membuat perubahan dan mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Destinasi kita itu pasti dan sudah ditetapkan. Yang membezakan kita semua adalah jalan mana yang diikuti dan bagaimana caranya kita semua melalui jalan tersebut. Seringkali kita lihat, ada diantara kita tergelincir dari landasan yang sepatutnya. Aku sendiri tidak terkecuali, kapan kali terkandas di pertengahan perjalanan kerana lorong-lorong kehidupan yang disangkakan lurus, kadang kala ada bengkang-bengkoknya serta ada simpang siurnya. Itulah erti kehidupan di dunia ini, yang tidak pernah sunyi daripada ujian kerana ujian itu tanda kasih dan sayang ALLAH kepada hambanya. Perbanyakkan doa memohon bantuan dari yang Maha Esa. Sentiasalah bersangka baik dengan ALLAH apabila jalan hidup kita begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik buat kita. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Disaat kita lemah dan terhimpit, hanya Dialah ada meniupkan semangat dan kekuatan. Bersyukurlah.
 
"Segala yang baik datang dari ALLAH dan yang hina dari diri aku sendiri"

29 September 2013

Aku Mahu Berubah

“Aku nak berubah, tapi aku tunggu datang seru..”

“Ala..rilek la, masih muda lagi. Tunggu tua nanti baru taubat..”

 “Ala..enjoy-enjoy dulu.. lepas kahwin baru berubah..”

“Aku takde kekuatan la nak berubah..”

“Aku masih belum bersedia untuk berubah..”

“Iman aku masih lemah lagi..”

“Aku nak berubah..tapi takut nanti takde siapa nak kawan dengan aku..”

“Nak berubah? Skema la lu bro.. sekarang zaman moden la, apa barang nak jadi orang kampung..”

Biasa dengar irama ayat-ayat macam ni..?

Berubah atau berhijrah, adalah satu ungkapan yang betul-betul buat semua orang teruja. Apatah lagi berhijrah daripada sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Nak berhijrah atau berubah ni tak susah sebenarnya, tetapi untuk kekal dalam perubahan atau penghijrahan itu yang amat sukar. 

Penghijrahan itu perlu Istiqamah. Namun terdapat seribu satu dugaan yang akan dihadapi bagi mereka yang ingin berhijrah ke arah yang lebih baik. Contohnya, dulu dia tidak menutup aurat, tapi pintu hatinya terbuka dengan hidayah Allah dan ingin berubah. Pada hari pertama Alhamdulillah, tetapi disebabkan persekitaran yang memaksa, dia menjadi tergugat dan seterusnya berputus asa untuk berubah. Itulah antara faktor yang mengganggu istiqamah kita, tidak kiralah faktor luaran atau dalaman.

Persoalannya, perlukah kita berubah secara mendadak ataupun beransur-ansur?

Ada yang berpendapat, perubahan perlu dilakukan secara beransur-ansur agar tidak berlaku kejutan pada diri kita dan persekitaran. Bayangkan jika dahulu kita selalu melepak bersama kawan-kawan, tetapi dengan sekelip mata, kita sekarang ini kita tidak mahu lagi berkawan dengan mereka atas alasan tidak mahu membuang masa. Tentu perasaan mereka akan terguris dengan perbuatan kita.

Ada juga yang mengatakan bahawa jika ingin berubah, haruslah secara menyeluruh dan semaksimum mungkin, kerana ajal dan maut itu akan datang pada bila-bila sahaja. (bimbang ajal menjemput sebelum sempat bertaubat)

Bagi aku, kedua-dua pendapat tersebut boleh diterima. Melakukan perubahan tidaklah semudah yang kita bayangkan atau harapkan. Lebih sukar lagi ia membabitkan perkara-perkara besar yang akan menentukan corak hidup dan masa depan kita, perubahan itu akan terasa berat dan sukar.

Untuk persoalan ini, sebenarnya  kita seharusnya melihat skop atau dari sudut apakah yang kita ingin lakukan perubahan itu. Sudut ini terbahagi kepada dua, iaitu berubah dari sudut penampilan dan berubah dari sudut  perangai/gaya hidup. 

Untuk sudut penampilan, kita boleh berubah sepenuhnya tanpa mengikut step. Sebagai contoh,  jika dahulunya kita seorang yang berpakaian tidak menutup aurat, bila kita ingin berubah kita boleh memakai pakaian yang sepenuhnya menutup aurat.

Tetapi bagi sudut perangai dan gaya hidup pula, suka atau tidak,  memang perubahan itu perlu dididik sedikit demi sedikit, kerana ia sudah menjadi berdarah daging dalam diri kita yang sukar untuk diubah.

Ia diibaratkan, jika dari dulu kita menconteng sedikit demi sedikit pada dinding yang luas sehingga pada suatu masa kita ingin membersihkan balik contengan itu, sudah pasti kita tak mampu untuk memadamnya sekaligus. Tetapi kita boleh membersihkannya sedikit demi sedikit,  sehingga contengan itu tidak kelihatan.

Aku akui, perubahan atau penghijrahan ini merupakan suatu yang amat sukar. Namun, keinginan untuk berubah adalah tanda yang ALLAH masih sayangkan kita. Kita perlu yakin bahawa, ALLAH sentiasa bersama kita kerana ALLAH itu Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Berdoalah kepada ALLAH mohon kekuatan daripada NYA semoga perubahan diri kita ini berkekalan. In Sya ALLAH.

"Berubah memang sukar, tetapi istiqamah dalam perubahan itu lebih sukar"

28 September 2013

Oh Musibah

Setiap manusia dimuka bumi ini tidak mahu dilanda masalah ataupun musibah. Aku sendiri pun jika diberi pilihan, aku memilih tidak dibelenggu dengan masalah. Siapa yang nak kan? Aku yakin korang semua pun tak nak. Namun sedarkah kita, dari masalah dan musibah inilah yang membuatkan kita lebih matang dalam kehidupan kita. Cuba kita fikir sejenak, ada tak masalah-masalah yang telah korang lalui sebelum ini, sedikit sebanyak mengajar korang tentang erti kehidupan? Kalau korang tanya aku, memang banyak benda yang telah mengubah diri aku dan cara hidup aku berpunca dari masalah dan musibah.

Kebelakangan ini aku dicekam dengan masalah yang aku sendiri tak dapat kawal dan amat perit untuk dilalui. Aku jadi murung, aku suka mengasingkan diri dari masyarakat dan aku banyak menghabiskan masa aku didalam bilik. Kawan? kawan aku memang ramai, tapi dorang jauh dari aku. Aku faham kawan-kawan aku juga mempunyai banyak masalah yang mereka perlukan selesaikan. Jadi aku buat keputusan untuk menyendiri tidak kiralah di pejabat mahupun di rumah sehinggakan orang disekeliling aku menegur perubahan drastik aku.

Bila kita ada masalah, cuma ALLAH saja yang dekat dengan kita. Cuma ALLAH yang mendengar keluhan kita. Dan ALLAH sahajalah yang akan mengatur perjalanan hidup kita. Diketika aku kerungsingan dengan permasalahan yang menimpa aku, ALLAH tunjukkan aku salah satu jalan penyesaian.

Semasa perjalanan pulang ke rumah, aku singgah untuk menunaikan solat asar di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi (Masjid Hijau). Selepas selesai solat, aku duduk digerai makan yang terletak di dalam kawasan masjid. Namun aku terkejut setelah hampir 6 bulan aku tidak berjumpa dengan pengusaha gerai tersebut, beliau masih mengenali aku, malah sheikh yang berada di kedai minyak wangi di sebelah gerai itu juga masih mengingati nama aku. Ya ALLAH, tidak pernah ku sangka mereka masih mengenali aku. Jadi selepas hari-hari itu, aku terus menjalankan rutin tersebut selepas aku habis waktu bekerja. Aku banyak berjumpa dengan orang-orang yang bijak pandai disana. Aku banyak mendengar hal-hal agama yang dibincangkan. Hati aku mula tenang dan jiwa aku mula gembira.  Dengan nasihat dan bimbingan rakan-rakan di masjid, aku memperbanyakkan doa memohon bantuan dari NYA dan Alhamdulillah sekarang masalah yang aku hadapi dapat diselesaikan.

Mengapa berlakunya musibah? Sebenarnya bagi pendapat aku, musibah yang berlaku pada diri kita kerana ALLAH rindukan tangisan kita meminta bantuan dari NYA. DIA juga ingin menguji hambanya bagi menguatkan lagi iman dan taqwa kita. Kita perlulah bersyukur kerana ALLAH masih memberi kita peluang untuk kita berubah. Kadang kala musibah itu amaran ALLAH kepada kita kerana kita semakin menjauhkan diri dari NYA. Jadi dengan musibah yang berlaku kepada kita secara tidak langsung dapat menilai kembali jarak kita dengan ALLAH. Jadi dikesempatan yang masih diberikan, dekatkan lagi diri kita kepada ALLAH jika kita jauh dari NYA dan rapatkan lagi diri kita kepada ALLAH jika kita semakin hampir dengan NYA. Sesungguhnya ALLAH Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

P/S : Pada pembaca semua, mesti pelik kenapa bahasa aku santai hari ni kan. Hahaha. Sebenarnya aku malas sikit nak blogging. Tak tahu pesal. Tapi entry tetap kene isi. Santai ke tak bahasa aku, janji input yang aku nak bagi kat korang tu sampai. Itu lebih penting dari menyusun ayat bermadah tetapi diakhirnya tidak memahami satu perkara pun. Apa-apa pun, selamat berhujung minggu dan berhati-hatilah semasa beriadah. Assalamualaikum dan salam bersantai.

27 September 2013

Generasi Muda

Assalamualaikum dan selamat petang rakan pembaca semua. Alhamdulillah aku masih diberi peluang dan ruang untuk menulis ruang entry aku kali ini. Semasa aku melayari muka buku, aku terlihat sesuatu yang amat menarik perhatian. Korang perasan tak, golongan muda sekarang seakan-akan tidak tahu lagi untuk menghormati orang yang lebih tua. Yang lebih memalukan lagi, golongan itu dari bangsa kita sendiri. Dimanakah hilangnya sopan-santun dan tatasusila kita? Mengapakah semakin hari permasalahan ini semakin meruncing? Apakah yang membuatkan gologan remaja sekarang semakin berani dan tiada adab terhadap orang tua? Bagaimanakah caranya untuk kita membendung pemasalahan ini dari ianya terus merebak seperti barah? Persoalan itu bertubi-tubi masuk ke kotak fikiran ku. Sehinggakan aku tidak sabar-sabar untuk meluahkannya didalam entry aku kali ini. Terdapat banyak faktor yang mendorang generasi muda berbuat demikian. Ia bermula dari rumah dan persekitaran kita sendiri. Jadi kita perlu memainkan peranan kita untuk membuat perubahan sebelum pemasalahan ini semakin teruk dan tidak dapat diubati lagi.

Ibubapa
Ibu bapa adalah salah satu faktor berlakunya pemasalahan ini. Generasi muda sekarang, tidak lagi didik dengan baik oleh ibu bapa. Cuba korang perhatikan orang dulu-dulu, apabila anak mereka tidak menunjukkan tanda hormat kepada orang lain, mereka akan tegur atau memarahi anaknya. Namun amat menyedihkan, kerana ibu bapa sekarang lagi tidak berbuat demikian kerana terlalu menyayangi dan menuruti kehendak anak mereka. kadang-kala ibu bapa sendiri tidak menunjukkan tanda hormat dan itu akan menjadi ikutan kepada anaknya pada masa yang akan datang.

Rakan - rakan
Rakan-rakan juga memainkan peranan yang penting kerana kita senang terpengaruh dengan rakan-rakan yang rosak akhlaknya. Apabila kita bergaul dengan rakan-rakan yang tidak elok, maka kita sedikit sebanyak akan terikut dengan perangai tersebut. kalau korang perhatikan budak-budak sekarang, jika ada seorang makcik ingin menaiki bas, mereka tidak menolong makcik tersebut sebaliknya memarahi makcik tersebut dengan kata-kata yang kurang manis.

Rancangan Televisyen
Akibat terpengaruh dengan rancangan yang ditayangkan di televisyen, kita sekarang lebih banyak meluangkan masa di hadapan tv dan cerita yang disiarkan pula kebanyakannya menunjukkan perbuatan yang tidak elok. Ianya secara tidak langsung akan mempengaruhi pemikiran kita. Contohnya, aku pernah terbaca tentang seorang anak sanggup mencuri barang kemas atau duit ibu bapa untuk kegunaan sendiri, menendang ibu apabila ibu melarangnya membuat sesuatu yang tidak elok dan banyak lagi unsur-unsur negatif. 

Itulah adalah antara faktor-faktor utama yang aku fikirkan yang amat mendorong generasi muda hilang rasa hormat terhadap orang yang lebih tua. Adakah lagi jalan penyelesaian bagi permasalahan ini? Aku cuba jawap dan huraikan jalan penyelesaian yang aku fikirkan terbaik untuk kita sama-sama usahakan untuk menjamin masa depan yang lebih elok.

Ibubapa
Sebagai ibu bapa, haruslah sedar bahawa anak adalah tanggungjawab dari ALLAH. Mereka ibarat kain putih yang bersih tanpa sebarang warna mahukan kotoran. Oleh itu, kita perlulah mencorakkan mereka dengan akhlak yang terpuji supaya menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Sedarkah kita, mereka akan sentiasa melihat dan mendengar segala perbuatan atau perbualan kita seharian. Jadi sebagai ibu bapa seharusnya menunjukkan perangai yang baik dan sentiasa bercakap perkara yang baik. Ibu bapa juga harus menunjukkan cara-cara yang betul untuk menghormati orang yang lebih tua. Sebagai contoh, jika kita ingin lalu di hadapan orang yang lebih tua, kita hendaklah membongkokkan badan dan jalan dengan rasa rendah diri dan malu, apabila bertemu dengan rakan-rakan atau sesiapa sahaja, teruslah bersalam. Itulah yang harus ibu bapa terapkan kepada anak-anak mereka.

Rakan-rakan
Kita hendaklah pandai memilih rakan yang baik. Ini kerana rakan yang baik akan membawa kita ke arah kebaikan. Kenapa aku kata begitu? Kerana rakan yang baik hanya akan melakukan perkara yang baik, contohnya, solat, tolong menolong, ambil berat, dan nilai-niali murni yang lain. Apabila kita berkawan dengan orang yang tidak baik, maka kita akan senang terjebak dengan perkara yang tidak elok.

Rancangan televisyen
Untuk penyelesaian ini pula, kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal rancangan tv yang disiarkan, kerana pihak stesen tv yang berhak menentukan apa yang mereka hendak tayangkan. Jadi tugas kita, kita hendaklah menjadi penapis rancangan itu dengan memilih rancangan yang sesuai untuk tontonan golongan muda.

Bila kita lihat kembali, kebanyakan pemasalahan ini datangnya dari dalam rumah kita sendiri. Maka ibu bapa seharusnya memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan baik. Beringatlah, anak-anak kita adalah penentu masa depan kita di dunia dan di akhirat.

26 September 2013

Awak Kat Mana?




Malam ini aku memikirkanmu lagi,
Nafasku menjadi sesak,
Jantungku berdegup kencang,
Nadiku berlagu sepi,
Jiwaku kosong,
Mataku kabur kerana air mata yang mengalir sayu.

Ingin sekali rasanya aku menjerit di puncak gunung,
Melaungkan betapa dalamnya rinduku padamu,
Melaungkan betapa gilanya cintaku padamu,
Agar kamu tahu betapa tersiksanya memendam perasaan ini.

Wahai angin....
Sampaikan salam rinduku padanya,
yang tidak pernah terucapkan,
agar dia tahu betapa aku sangat merindukanya.

Wahai sang burung....
Berkicaulah dengan merdu,
Supaya dia mengerti bait bait cinta,
yang sudah tersusun indah untuknya.

Wahai hujan....
Turunlah dengan gerimis,
agar dia tahu betapa sunyinya aku disini tanpanya.

Wahai pelangi....
Bersinarlah setelah hujan lebat berlalu,
Supaya dia tahu sesungguhnya aku masih disini,
berharap dihatinya.

Perasaan merindui ini sangat indah, namun ia lebih indah lagi seandainya rindu itu terbalas. Sekiranya aku tahu isi hati mu, mungkin terubat rasa lara dihati ini. Biarlah hanya ALLAH sahaja yang mengetahui betapa terseksanya. Maafkan aku kerana merindui dirimu. Ia hadir sendirinya tanpa ku sedari. Tidak pula aku menyalahkan dirimu kerana tidak berperasaan seperti aku.

Oh tuhan, berikan aku masa dan petunjuk dari Mu. Hanya diri Mu yang tahu apakah rencana dan perjalanan hidup ku. Aku hanyalah pelakon yang melakonkan watak yang diberikan. Melahirkan rasa cinta dan rindu yang dikurniakan. Ya ALLAH, aku hamba Mu yang lemah. Aku amat memerlukan bantuan Mu untuk aku meneruskan perjalanan hidup ini. Aku berserah pada Mu Ya ALLAH.

25 September 2013

Kecurian Dimana Saja

Assalamualaikum, salam satu Shahadah. Alhamdulillah syukur pada ALLAH di atas kurniaan kesihatan dan kesempatan bagi aku untuk menulis entry aku kali ini. Sebelum aku memulakan entry aku, aku ingin memohon ampun dan maaf jika pengisian entry ini mengguris hati mana-mana pihak. Tiada niat aku perlakukan sebegitu.

Apalah nak jadi dengan Umat Islam yang penuh dengan nilai-nilai murni yang telah diterapkan oleh Junjungan Besar Kita, Rasulullah s.a.w. Apalah nak jadi dengan bangsa Melayu yang dikenali oleh mata dunia, bangsa yang penuh dengan tatasusila. Apalah nak jadi dengan negara yang kita sayangi ini yang semakin tidak selamat. Kebelakangan ini kes kecurian semakin menjadi-jadi. Ia berlaku di tempat-tempat awam dan tidak terkecuali juga di Masjid dan surau. Sehinggakan perkara sebegini seakan-akan sudah menjadi kebiasaan. Sewaktu aku dibangku sekolah dahulu, kes kecuriaan di masjid dan surau jarang sekali kita dengar, namun sekarang hampir setiap hari ianya berlaku. Begitulah situasi umat akhir zaman, kemungkaran dan kejahatan semakin berleluasa manakala amalan kebaikan semakin pudar dan berkurangan.

Hari ini aku mendapat info dari group facebook Bandar Baru Bangi yang telah mengatakan 4 beg jemaah yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi (Masjid Hijau) telah dilarikan. Rumah Allah (masjid/surau) sepatutnya menjadi tempat untuk membersihkan diri dari kekotoran dosa bukan tempat menambah dosa. Nauzubillahiminzalik! Aku disini bukan ingin berceramah, aku cuma melahirkan sedikit kekesalan dan kerisauan tentang pemasalah didalam masyarakat kita sekarang yang semakin tidak takut akan azab ALLAH. Oleh itu, aku telah membuat sedikit ulangkaji dan aku rasa aku perlu kongsikan sedikit hadith kepada pembaca semua sekadar peringatan tentang azab dan seksaan ALLAH bagi penghuni-penghuni neraka.

Hadis nabi yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Nabi telah bersabda
ketika mana Malaikat Jibril datang bertemu nabi dan menceritakan tentang neraka.
  
Jibril mengatakan
"Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang yang berada di hujung timur kerana bersangatan panasnya (tersangat panas api neraka), Neraka Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya adalah besi, minumannya adalah air panas campur nanah dan pakaiannya adalah potongan-potongan api."

Jibril menyatakan lagi
"Maka diiring ke sana musuh-musuh Allah sehingga bila telah sampai ke pintunya disambut oleh malaikat Zabaniyah dengan rantai dan belenggu, maka rantai itu dimasukkan kedalam mulut mereka hingga tembus pada kemaluannya dan diikat tangan kiri pada lehernya sedangkan tangan kanan di masukkan kedada dan tembus pada bahunya dan tiap-tiap manusia digandingkan dengan syaitan lalu diseret tersungkur mukanya sambil dipukul oleh para malaikat dengan besi. Tiap kali mereka ingin keluar kerana sangat risau maka ditanamkan kedalamnya".

Abdullah bin Jubair meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w bersabda
"Bahawa di dalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika menggigit maka rasa pedih bisanya tetap terasa hingga 40 tahun. Juga di dalam neraka ada kala jengking sebesar keldai, jika menggigit maka akan terasa pedih bisanya selama 40 tahun".


Begitu hebat azab ALLAH kepada siapa yang tidak mengikut suruhan NYA. Mahukah kita tergolong dikalangan orang-orang yang dimurkai ALLAH? tepuklah dada, tanyalah iman. Kita sebagai khalifah ALLAH dimuka bumi ciptaan NYA ini seharusnya mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada berbuat kejahatan (Amar Makruf Nahi Mungkar). Tegurlah dan bimbinglah rakan-rakan kita kearah kebaikan dan melarang dari melakukan kejahatan. In Sya ALLAH, jika itu amalan harian kita, Syurga ALLAH sedia menanti. Marilah bersama-sama kita cuba lakukan yang lebih baik dari semalam agar menjadi bekalan untuk akhirat kelak. Kepada rakan pembaca semua, Aku nasihatkan supaya lebih berhati-hatilah dengan barangan berharga korang kerana mata dan tangan-tangan pencuri sentiasa ada disekeliling kita.

"Wallahualam"

24 September 2013

Youtube Oh Youtube

Assalamualaikum dan selamat malam korang semua. Ada satu soalan yang bermain difikiran aku sekarang untuk aku tujukan kapada pembaca semua. Ape pendapat korang tentang Youtube? Bagi akulah, Youtube adalah satu kejayaan besar bagi manusia sejagat. Ia juga salah satu egen penyebaran maklumat yang pantas dan efektif. Di zaman teknologi gajet seperti sekarang ini, sangat mudah bagi kita untuk merakam dan memasukkan video di dalam Youtube. Terdapat 2 jenis user yang menggunakan Youtube ini. Jenis user yang pertama adalah, penonton yang hanya menonton apa yang telah dimuat naik oleh user lain, dan jenis user kedua pula adalah jenis pengguna yang suka memuat naik video untuk tatapan umum.

Aku berasa amat seronok dan cemburu apabila melihat ada yang diantara kita berpeluang untuk pergi majlis ilmu membuat rakaman dan  memuat naik rakaman tersebut di Youtube untuk tontonan umum. Memang saham pahala mereka sentiasa mengalir kepada selagi video itu dimainkan. Kalau yang baik tu, Alhamdulillah syukur pada ALLAH. Yang aku paling takut tu, pada perkara yang tidak baik dimuat naik. Ya ALLAH, terlalu banyak video yang tidak elok kita boleh jumpe didalam Youtube. Adakah kawan-kawan semua pernah terfikir, mata dan telinga yang telah berbuat baik ini dicemari dengan kekotoran yang berada didalam Youtube. Ya ALLAH, kerugian besar bagi diri kita. Kita baru kumpul pahala dengan amal ibadat, lepas tu kita layari Youtube kita terjumpa gosip-gosip artis, kita pulak tetiba rasa seronok plak nak dengar. Mane idaknye, setan dok hasut suruh tengok. Kita yang iman tak berapa nak kuat tu tak pasal terjebak (Aku pun macam tu jugak, tak dinafikan). Belum cukup dengan itu, kita share pula video tersebut didalam laman sosial. Bahaya tu wahai kawan-kawanku, saham dosa kita terus mengalir selagi ada mata dan telinga manusia melihat dan mendengar video tersebut. Nauzubillah min zalik. Minta kita disimpangkan dari melakukan perkara tersebut. 

Ya betul, kita memang tak boleh kawal apa yang ada berada didalam Youtube. Tapi kita boleh kawal diri kita dari melihat dan mendengar input-input yang tidak elok. Gunakanlah youtube ini sebagai egen penyampaian dakwah dan tempat pencarian ilmu bukanlah menjadi medan gosip dan perkara yang tidak baik.

"Kita mampu mengubahnya"

23 September 2013

Gangguan Elektrik

Assalamualaikum dan salam Isnin. Whaatdaap yawww. Bagaimana hari korang hari ni? Ok ke idak? Aku? Haaa, banyak benda yang telah berlaku dalam hidup aku hari ni dan aku rasa, begitu juga korang diluar sana. Bila dikenangkan kembali apa yang telah berlaku tadi, aku rasa nak tergelak pun ade, nak marah ade, nak hangin pun ade, gembira pun ye. Mana idaknya elektrik kejap ada kejap tak de. Tak pasal-pasal duduk bergelap dalam pejabat. Tunggu juga, mana tahu boss umum cuti tadi. Kalaulah cuti, alangkah seronoknya rasa dihati. Tapi mengapalah, sekali sekala duduk saja pun best juga, boleh jugalah aku borak-borak sampai tak hingat dunia. Disebabkan hari ini isu pasal elektrik, aku rasa elok jugalah kita imbas kembali kes-kes "major blackouts" yang pernah berlaku di negara kita yang tercinta ini. Untuk makluman korang semua, dalam entry "major blackouts" ini, tak termasuk semasa PRU13 ye. Blackouts tu hebat sangat, sampai tak tersenarai langsung. Mungkin akan dikeluarkan dalam isu wikipedia yang lain. (mungkin aje ye..hehehe..) In Sya ALLAH, entry aku ni bebas dari politik. Jangan risau ye. By the way, jom kita layan sekejap apa yang aku curi dalam wikipedia.

Gangguan bekalan elektrik merupakan kehilangan bekalan elektrik jangka panjang atau pendek di sesebuah kawasan. Terdapat banyak sebab berlakunya gangguan bekalan elektrik. Antaranya termasuklah kegagalan stesen penjana elektrik, kerosakan pada talian penghantaran, pencawang atau bahagian lain pada system pengagihan elektrik, litar pintas, atau beban lampau pada bekalan elektrik sesalur.
  
Terdapat kes besar yang melibatkan putus bekalan elektrik di Malaysia.
  • Pada 31 Julai 1992, Malaysia mengalami bekalan elektrik yang terputus untuk jangka masa yang lama akibat panahan kilat pada grid yang melibatkan empat talian kuasa antara paka dan teluk kalong di Terengganu. Lima belas stesen kuasa di pantai barat terputus kuasa dan bekalan pulih antara enam hingga sepuluh jam kemudian.
  • Seterusnya, bekalan elektrik terputus secara besar-besaran di Semenanjung Malaysia bermula pada jam 17:17 3 Ogos 1996. Negeri-negeri yang terlibat secara serius termasuklah Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan – mengalaminya untuk beberapa jam. Talian penghantaran berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu terganggu pada waktu tersebut menyebabkan semua stesen kuasa di Semenanjung Malaysia mengalami kegagalan dalam membekalkan kuasa elektrik. Bekalan kembali pulih pada jam 11 malam. Disebabkan hal ini, pihak kerajaan meluluskan lima penghasil kuasa untuk menyertai perniagaan penjanaan elektrik. Hal ini juga menyebabkan saham utama Tenaga Nasional jatuh mendadak.
  • Pada 2003, selatan Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik termasuk negeri Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Negeri-negeri ini mula mengalami gangguan jam 10 pagi dan berlarutan selama 5 jam pada 4 September dan menyebabkan industri tempatan kerugian $13.8 juta.
Bagi aku, semua ini memang kita tak boleh jangka, manusia pun boleh sakit apatah lagi barang dan alatan. Tapi sebenarnya pihak berwajib perlulah mencari cara bagi mengatasi masalah ini dari berulang kembali. Aku bukanlah seorang yang bijak pandai untuk mencipta alatan, namun aku rasa mesti ada jawapan dan cara penyelesaian disebalik permasalah tersebut. Biarlah yang lebih arif yang menyelesaikannya. Kita sebagai pengguna amat-amat berharap, kejadian "major blackouts" yang telah berlaku sebelum ini tidak akan berulang kembali di Malaysia kerana pada kala dunia elektronik sekarang, elektrik adalah sumber yang amat-amat diperlukan.

"Majulah Malaysia Ku"

Nukilan Hati Ku

Jika ada sepuluh orang yang mengambil berat tentang dirimu, maka sudah pasti salah seorang daripada mereka adalah aku. Jika hanya seorang saja yang mengambil berat terhadapmu, maka sudah tentulah orang itu adalah aku. Dan jika tiada sesiapa lagi yang mahu mengambil berat terhadapmu lagi, maka itu bermakna aku sudah tiada lagi di dunia ini.

Cinta ibarat api. Kita tidak akan pernah tahu sama ada api itu akan menghangat atau menghangus hati kita. Memberikan seluruh cintamu kepada seseorang bukanlah jaminan dia akan membalas cintamu. Jangan mengharapkan balasan cinta, tunggulah hingga cinta berkembang di hatinya, tetapi jika tidak, berbahagialah kerana cinta tumbuh di hatimu.

Melafazkan cinta dan janji setia itu mudah. Mengotakan cinta dan janji setia itu susah. Cinta dan janji setia yang hancur buat insan parah. Masa depan yang cerah selalu bergantung pada masa lalu yang dilupakan. Kita tidak dapat hidup terus dengan baik jika kita tidak melupakan kegagalan dan sakit kita di masa lalu.

Hanya diperlukan waktu seminit untuk menafsir seseorang, sejam untuk menyukai seseorang dan sehari untuk mencintai seseorang. Namun diperlukan waktu seumur  hidup untuk melupakan seseorang. Melupakan seseorang yang disayangi amat sukar. Cinta akan hidup bersama dengan waktu, apabila waktu itu mati, maka matilah cinta itu. Cinta sejati ialah apabila kita masih mampu tersenyum, sambil mendoakan kebahagiaan untuknya walaupun jika terpaksa melepaskannya pergi. Jika kita mencintai seseorang, kita akan sentiasa mendoakannya walaupun dia tidak berada di sisi kita. Yang pertama belum tentu yang terbaik, yang terbaik biasanya yang terakhir. Tetapi yang sukar dilupakan adalah yang pertama, sedangkan yang terakhir masih menjadi tanda-tanya. 

Mencintai juga bukanlah bagaimana kita melupakan dia bila dia berbuat kesalahan, melainkan bagaimana kita memaafkan,  bukanlah bagaimana kita mendengarkan, melainkan bagaimana kita mengerti, bukanlah apa yang kita lihat, melainkan apa yang kita rasa, bukanlah bagaimana kita melepaskan, melainkan bagaimana kita bertahan. Cinta yang tidak berbalas itu bagaikan layang-layang putus talinya. Soal cinta adalah soal hati. Ia juga soal jodoh. Manusia hanya merancang tapi ALLAH yang menentukan jodoh. Soal hati tiada undang-undang. Apatah lagi paksaan. Sejauh dan sedalam mana pun cinta kita terhadap seseorang, kalau ia tidak berbalas, sukar untuk mengakhirinya dengan perkahwinan. 

Jika kita memiliki seorang itu, hargailah ia dengan sebaiknya. Jika kita mempunyai seorang kekasih jagalah ia dengan sempurna. Jika kita sayang padanya, cubalah setia. Jika kita cinta padanya, cintailah dengan kejujuran, dan janganlah pernah kita melukai hatinya. Sedikit nukilan hati, aku karangkan untuk mengubat keresahan disanubari dikala ini. Maafkan aku jika entry kali ini telah membuang masa pembaca. Tiada niat untuk berbuat demikian hanya sekadar ingin berkongsi dengan apa yang aku sedang alami.

21 September 2013

Dengan Siapa Korang Boleh Bersalaman

Assalamualaikum & Salam Sabtu Semua.

Awat kejap bebeno hari sabtu nye, esok da ahad, luse da isnin. Aduh bermula kembali kitaran kita. Ape boleh buat, koje kene koje. Tak koje x de ler duitnye. Iye idak. Hehehe.. Ape-ape pun Entry aku hari ni aku nak santai sikit. Malas nak fikir-fikir ayat-ayat madah, ayat-ayat novel. Otak dah tepu, badan penat drive seharian semalam dari Satey Town ke Raining Town, Silver State balik hari. Ulang alik habeh 9 Jam ateh highway yob, nak muntah teman ghase. By the way, tadi aku tengah syoik dok melayari laman sesawang muka buku ni aku ternampaklah satu gambar yang aku rasa agak menarik kalau aku masukkan dalam blog aku untuk rujukan kawan-kawan. Benda ni memang remeh, tapi macam aku katakan dalam entry aku sebelum ini, entry "Saham Dosa Selepas Mati" kerana kita fikir ianya remeh kita akan selalu ambil mudah dan secara tidak sedar kita senang-senang dapat dosa. Nak beramal pun kena ada ilmu, jadi aku harap entry aku hari ni sedikit sebanyak dapatlah membantu rakan-rakan semua.

  
Bagi lelaki
Bagi Perempuan
Aku nie bukan ler baik bebeno dan bukan ler nak tunjuk baik, tapi aku nak cuba berubah jadi baik. Lagipun kitakan dituntut untuk menjadi lebih baik. Jadi jangan pedulikan apa yang orang akan katakan, sebab dorang bukan dapat tolong kita pun. Masa kat akhirat nanti, kita kene jawap sorang-sorang gak kat padang mahsyar tu. Ingatlah rakan-rakan walupun sebesar zarah dosa atau pahala akan dihitung, mulut dikunci anggota-anggota badan yang akan menjawap semua soalan yang akan dikemukakan. Sudah bersediakah kita? Sekurang-kurangnya pada korang yang baca dan cuba amalkan ni, ALLAH tahu kita cuba untuk berubah. ALLAH kan Maha Mengetahui. Sebelum mengakhiri entry kali ini, sila rujuk ustaz yang berhampiran jika ada terdapat keraguan berkenaan carta tersebut. Aku bukanlah ustaz tapi apa yang aku belajar kat sekolah dulu cam tu lah. hehe.. Jadi rakan-rakan semua, jomlah kita amalkan bersama. Semua yang baik datangnya dari ALLAH dan segala yang buruk datangnya dari diri aku sendiri.

19 September 2013

Makhluk-Makhluk Yang Kita Telan Secara Tak Sedar

Assalamualaikum dan selamat petang rakan pembaca semua. Hari ini aku seharian diluar pejabat kerana menjalankan audit 5S dalaman bagi kawasan sekeliling kilang tempat kerja aku. Tengah leka membuat audit, aku tak sedar jam telah menunjukkan pukul 1 petang. Justeru aku terus bergegas ke bistro yang terletak didalam permis kilang aku. Aku terpandang satu perangkap lalat elektrik yang dilekatkan pada dinding bistro. Aku terfikir sejenak bagaimana sebenarnya wajah makhluk-makhluk kecil yang selalu berada disekeliling kita ni. Akibat perasaan ingin tahu, jadi setibanya aku dirumah aku terus google untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Apa yang aku jumpa amat memeranjatkan aku kerana aku tak sangka wajah makhluk-makhluk tersebut amat menakutkan.

Tahukah rakan-rakan, disebabkan ukurannya yang teramat kecil dan susah untuk dilihat dengan mata kasar, secara tak sedar kita telah tersedut makhluk-makhluk ini melalui udara dan debu, bahkan turut ditelan bersama makanan dan minuman yang ada. Kalau saja kita dapat melihat wajah, rupa dan bentuk makhluk-makhluk ini, pastinya kita tak sanggup untuk menelan mereka. Jom kita kenali mereka dengan lebih dekat.
 
Ini merupakan gambar dari bakteria/kutu debu yang biasa hidup di sofa dan tilam tempat tidur kita. Kalau korang tidak berasa gerun, korang bukan manusia normal

Ini merupakan imej bakteria yang biasa hidup di bulu kucing dan anjing peliharaan. Ini adalah hasil karya pemenang pertandingan fotografi sains, iaitu Steve Gschmeissner, 61 tahun, yang mengabadikan mahkluk-mahkluk mengerikan ini dengan kamera yang dilengkapi dengan Microscope zoom yang mampu memperbesar ukuran sehingga beratus-ratus kali.

Ini pula adalah imej bakteria yang biasa hidup di roti yang tidak dibungkus dengan kemas. Cuba bayangkan, dalam sekeping roti Gardenia atau roti Hi-5 yang korang makan, terdapat beratus malah beribu-ribu bakteria ini. Justeru, pastikan korang membungkus roti korang dengan kemas.
Imej di atas adalah imej larva lalat hijau yang diperbesar sehingga 100 kali ( 100x zoom). Nampak macam makhluk asing.
Gambar ini pula hanyalah gambar lalat hitam yang selalu berterbangan dalam rumah korang. Bengiskan bukan wajah dia ni  

Memang benar, kita tak boleh lari dari makhluk-makluk ini. Tapi bagi aku, kita boleh berusaha untuk mengelakkannya dari terus berkeliaran disekeliling kita. Jadi sewajarnya kita perlulah mengambil langkah yang sepatutnya sebagai contoh, membuat pembersihan berkala dikawasan rumah kita. Ia adalah salah satu langkah untuk memastikan makhluk tersebut tidak bersarang dirumah kita. Lagipun, kebersihan itukan separuh daripada iman. Persekitaran bersih, kesihatan terjamin dan pahala pun bertambah. In sya ALLAH kita boleh menjayakannya.

18 September 2013

Mana Mak?

Awan sayang Ibu hingga akhir hayat awan
Assalamualaikum rakan pembaca sekalian. Alamdulillah bertemu kita kembali didalam entry baru untuk kali ini. Aku sebenarnya kekurangan idea bagi entry kali ini maklumlah perasaan aku kurang stabil dek masalah kerjaya, kesihatan dan peribadi. Oleh itu, aku ingin berkongsi sedikit cerpen pendek yang bagi aku amat-amat bermakna dan penuh dengan pengisian. Aku harapkan rakan pembaca dapat meluangkan sedikit masa untuk membaca cerpen ini sehingga habis kerana terlalu banyak benda yang ingin diketengahkan. 

Jam 6.30 petang

Mak  berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian
6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya.
Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah  menonton tv.  Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang  asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh  menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?" Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!” Tersentap hati Ayah mendengar  kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.  Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah.  Mak  resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak  mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak  Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak. Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut. Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan  bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. 

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak  lakukannya. Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. Mak letakkan  bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus  kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda  faham. Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak  sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni." Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur. Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi. Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira  dan  berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan  setiap malam. Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak  masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak  berangkat." Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan  balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.  Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa  Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu. Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak. Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai. Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, "Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya. Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"   

Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab? Cerpen ini bukanlah untuk mengaipkan sesiapa. Ia hanyalah sebagai peringatan bagi diri kita sendiri sekiranya kita terleka dan lupa dengan keseronokan duniawi ini. Mak adalah segala-galanya, tiada insan yang layak mengantikan tempatnya. Oleh itu, sementara ALLAH masih memberi kita peluang untuk bersama Mak kita, gunakanlah dan manfaatkanlah. Jagalah dia seperti dia menjaga kita diwaktu kecil, berikanlah kasih sayang kepadanya sewaktu masih ada masa. Ya ALLAH, Ampunilah dosa Mak kami, ayah kami dan keluarga kami seluruhnya muslimin muslimat. Moga kami ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.