15 November 2013

Kadang-Kadang


Kadang-kadang
dalam hidup ni
macam-macam yang kita buat
semata nak jaga hati semua orang
sampaikan hati sendiri pun
jadi hati yang terakhir untuk dijaga

Kadang-kadang
dalam hidup ni
kita nak semua benda berjalan dengan sempurna
kita nak semua benda jadi macam apa yang kita nak
sampai satu masa kita tak dapat
kita mula cuba nak memberontak

Kadang-kadang
dalam hidup ni
kita nak semua orang faham diri kita
apa yang kita cuba sampaikan pun
kita nak paksa orang untuk faham jugak
tapi bila kita sedar diorang semua tak boleh nak faham
kita mula rasa kecewa dan sedih

Kadang-kadang
dalam hidup ni
kita selalu nak buat orang gembira dan ketawa
kalau boleh taknak ada setitik air mata pun
yang jatuh disebabkan kita
tapi bila memang air mata tu mengalir kerana kita
hati ni rasa nak pergi jauh sangat supaya tak jadi punca

Kadang-kadang
dalam hidup ni
kita nak orang selalu ada dengan kita
kalau boleh setiap apa yang kita lakukan
semua orang mesti kena ada
tapi kita lupa dan tak sedar
sebenarnya kita sendiri yang dulunya tinggalkan orang

Kadang-kadang
dalam hidup ni
kita nak jadi orang paling sempurna atas muka bumi ni
taknak ada buat salah sikit pun
tapi kita tak perasan pun
dengan mengimpikan untuk menjadi sempurna tu pun
dah menjadi satu kesalahan

Jadi ,
untuk kadang-kadang juga
kita kena sedar yang kita ni cuma manusia biasa
yang hidup menunggu mati

Kita lupa.
ada TUHAN yang memerhati
ada KUASA yang mengendali
jadi untuk mencapai semua kadang-kadang
yang kita impikan tadi
cuma satu
kita cuma perlu berbalik kepada yang SATU itu
kerana setiap kadang-kadang yang kita cipta
semuanya bergantung kepada keizinan-Nya

11 November 2013

Sahabat

Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran. Mencari sahabat sejati bukanlah mudah kerana ramai yang bersama kita hanya ingin berkongsi suka, namun kurang yang ingin menemani kita meniti duka.

Sahabat dan kawan membawa pengertiaan yang berbeza.  Aku bersahabat dan berkawan mengikut fasa kehidupan yang berbeza. Ia bermula dari kecil, tadika, sekolah rendah, menengah dan alam perkerjaan. Ada yang kekal sehingga sekarang, dan ada yang hanya sementara.  Mungkin dan pasti akan bertambah lagi menjadi sejarah menyelusuri kehidupan sehingga sampai saatnya mati datang menjemput.

Sahabat sejati nilainya tiada bandingan. Dia ibarat berlian yang terbenam di dasar lumpur. Meskipun berbalut kekotoran, gemerlap sinarnya terserlah jua. Sahabat sejati juga menjunjung erti setiakawan, kejujuran dan bertanggugjawab. Sama bergembira di waktu senang,  membimbing dan membantu sewaktu diri tergelincir dari batasan.

Sahabat sejati tidak semestinya perlu berada di sisi kita setiap masa. Mungkin dalam setahun, pertemuan dengannya boleh dihitung dengan jari. Namun, hubungan dalaman yang erat terjalin sebati di dalam jiwa. Biarpun jauh, nilai persahabatan yang sedemikian akan tergenggam erat dalam diari ingatan.

Actually, the true friends are the ones that give us that shoulder to lean on, the hand to hold onto, the strength to stand. Once we find a true friend, don't ever let them go because it will be really hard to find another.

09 October 2013

Penyakit Hati - Sombong

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan yang dimiliki perlulah digunakan untuk membantu masyarakat sekeliling dan kekurangan kita pula bukanlah sesuatu yang kita perlu kesali. ALLAH menganugerahkan kelebihan itu untuk kita gunakan ke jalan yang benar berlandaskan syariat Islam. Namun amat menyedihkan perasaan sombong dan angkuh sering hadir dari kelebihan yang dimiliki. Kelemahan pula bukanlah sesuatu yang ganjil. Janganlah kita merungut pada diri kita, sebaliknya belajarlah untuk mengatasi kelemahan tersebut.

Jika kita bijak pandai. Alhamdulillah.
Jika kita kaya. Alhamdulillah.
 
Perlulah kita bersyukur diatas kurniaan NYA, bukan hanya setakat dibibir tetapi, didalam pengaplikasian hidup kita. Jangan pernah sekali memandang rendah pada seseorang yang mungkin tidak sehebat diri kita, elaklah diri dari menghina insan lain yang serba tak upaya dan  memperlekehkan manusia yang mungkin tidak sebijak dan sepandai kita.

Beringatlah rakan-rakan, janganlah disebabkan kerana kekayaannya, kita dekat dengannya. Kerana kepandaiannya, kita jadi sahabat baiknya dengan meminggirkan sahabat-sahabat  yang lain. Bukan juga kerana luaran yang cantik dan popular, kita mahu bersahabat dengannya. Jika kerana itulah nilai ukhuwah yang dibina, persahabatan itu tidak akan berkekalan. Mengapa?
  1. Kalau dia jatuh miskin, pasti kita akan menjauhinya. Hilang sudah erti persahabatan.
  2. Kalau dia hilang ingatan, kemudian, tidak sebijak dulu, kita pasti akan meninggalkannya kerana dia sudah tidak berguna lagi untuk kita. Hilang sudah erti sebuah ukhuwah.
  3. Kalau dia kemalangan, ada parut di muka, ada cacat celanya, pasti kita sudah tidak mahu mengaku kawan lagi. Hilang sudah semua yang dibina.
Sepandai mana pun kita, sekaya mana pun kita, taraf kita semua tetap sama. Semoga sepasang mata yang kita miliki, mampu melihat kebaikan. Semoga sekeping hati yang dianugerahkan, mampu memaafkan kesalahan. Semoga minda yang kurniakan, mampu melupakan kepahitan. Semoga jiwa yang diberikan, tidak pernah rapuh dari imannya. Semaikanlah iman dan takwa dalam setiap pertemuan kita. Terimalah orang sekeliling kita seadanya dengan hati yang ikhlas. Bantuilah mereka yang lemah dengan kelebihan yang kita miliki. Bersama-samalah kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. 


Jadikan ALLAH itu matlamat sebenar kita. Bukan kerana cinta manusia, baru kita mahu mendekati ALLAH. Bukan kerana mahu berjaya dalam hidup, baru kita merapati ALLAH. Andai begitulah hakikatnya, pasti kita akan cepat lupakan kepada Nya apabila segala yang kita minta telah dimakbulkan dan mungkin juga kita akan berputus asa untuk berdoa dan mengharap kepada Nya sekiranya doa kita tidak diperkenankan.


Jangan sesekali bersikap begitu. Jangan jadikan cinta, kejayaan dan lain-lain lagi sebagai matlamat utama. Sebaliknya, jadikan semua itu bermatlamatkan ALLAH Yang Maha Esa. Kita bercinta dan berkasih sayang dengan manusia kerana Allah. Kita mahu berjaya dalam hidup sekalipun biarlah kerana ALLAH. Kita mahu kecapi apa yang kita impikan adalah kerana ALLAH. Itulah matlamat sebenar hidup kerana hidup mati kita hanya untuk ALLAH. 


"ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong"

08 October 2013

Insan Berjaya

Bersyukur kita kepada ALLAH kerana kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara di bumi ALLAH yang bertuah ini dan masih diberi rezeki daripada NYA. Jika terputusnya rezeki kita, bermakna tiada lagi kita di dunia ini. Maka bermulakah kehidupan yang sebenar untuk kita, kehidupan yang tiada penghujungnya dan kekal untuk selama-lamanya.

Apa itu berjaya? Berdasarkan apa yang kita tahu, berjaya ialah keputusan baik yang diperolehi setelah kita berusaha dan bekerja keras. Namun, ada pula istilah "berjaya di dunia dan di akhirat". Macam mana nak berjaya di dunia dan di akhirat dalam masa yang sama? Tidak ada manusia yang celik cara berfikirnya yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah hasrat setiap insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan adalah sesuatu yang manis dalam kehidupan manusia. Namun kejayaan yang ingin dikecapinya melalui apa saja proses itu perlulah mengikut prosedur dan pantang larang terutama dalam agama Islam bagi meniti sesuatu kejayaan.

Siapa sahaja mengimpikan untuk menjadi hebat dalam segala bidang dan kerjaya yang diceburi.  Kita juga mengimpikan sejak sekian lama untuk menjawat jawatan yang hebat demi keselesaan hidup pada masa hadapan. Namun, jangan kita lupa bahawa semua itu adalah sementara. Kita pasti menempuh suatu alam yang tiada penghujungnya. Sebagaimana kita perlu hebat dan cemerlang di dunia ini, kita juga perlu hebat dan berjaya di akhirat.

Dewasa ini, ramai dikalangan kita bersungguh-sungguh mencari dan mengejar kekayaan dunia sehingga terlupa membuat persiapan untuk bekalan di akhirat kelak. Kita sibuk berusaha untuk mempunyai kewangan yang kukuh, kenderaan yang hebat, rumah yang besar dan lain-lain. Bagi aku ianya tidak menjadi masalah, malah kita dituntut untuk menikmati rezeki yang dilempahkan oleh Yang Maha Esa. Namun janganlah ia melalaikan kita sehingga terlupa dan alpa dengan apa yang dimiliki dunia ini hanyalah bersifat sementara dan akhirat itu kekal abadi.

Untuk menjadi orang yang berjaya dalam hidup bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini kerana kita mempunyai peluang untuk mengecapi kejayaan dalam hidup. Ianya bergantung kepada diri kita sendiri yang menentukan bagaimana cara hidup kita sama ada untuk menjadi orang yang berjaya atau pun tidak. Setiap individu yang berjaya, mempunyai ciri-ciri yang sentiasa diamalkan dalam hidup mereka. Ianya boleh dijadikan sebagai panduan dan ikutan untuk berjaya.

Berilmu dan cintakan ilmu pengetahuan
  • Orang yang berilmu akan sentiasa dipandang mulia oleh orang lain kerana ketinggian ilmu yang dimilikinya. Dengan ilmu, seseorang itu akan berjaya di dunia dan juga akhirat. Ciri-ciri individu yang berjaya, mereka sangat cintakan ilmu pengetahuan kerana mereka tahu dengan memiliki ilmu, hidup mereka akan lebih berjaya. Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu adalah, dengan memperbanyakan bacaan.
Yakin dengan diri sendiri
  • Setiap orang mempunyai kelebihan dalam diri masing-masing. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa yakin bahawa kita juga hebat seperti orang lain. Jika orang lain boleh berjaya mengapa tidak kita? Semuanya berkenaan keyakinan yang ada dalam diri kita sendiri. Jika kita sudah tidak yakin dengan diri sendiri, kita mungkin tidak akan dapat mengecapi kejayaan seperti apa yang diimpikan.
Sentiasa berusaha dan tidak berputus asa
  • Kejayaan seseorang itu bergantung kepada sejauh mana usaha yang dilakukan. Jika kita telah pun berusaha tapi kejayaan yang kita inginkan tidak seperti yang diharapkan, maka janganlah lekas berputus asa. Orang yang mudah berputus asa tidak akan kemana-mana.
Tawakal kepada ALLAH
  • Setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian yang diimpikan, maka selepas itu bolehlah bertawakal kepada ALLAH. Ini kerana kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi ALLAH yang menentukan segalanya. Kita telah pun berusaha setakat mana kemampuan kita. Dengan bertawakal, bermakna kita yakin hanya ALLAH yang akan memberikan kejayaan kepada hamba yang diinginkan Nya.
Syukur atas segala nikmat
  • Setelah kejayaan yang inginkan telah menjadi kenyataan, maka sebagai seorang hamba, hendaklah bersyukur kepada Nya. Ini kerana, ianya sebagai tanda berterima kasih atas segala nikmat yang diberikan oleh Nya. Dengan membantu orang lain juga menunjukkan tanda syukur atas kejayaan yang telah dimiliki.
 Beriman dan bertakwa
  • Orang yang berjaya akan selalu berada dekat dengan penciptanya. Ini kerana dia tahu hanya ALLAH yang akan memberikan kejayaan bagi setiap hamba semasa hidup di dunia dan juga akhirat. Keimanan dan ketakwaan, adalah dengan menjaga segala amal ibadah seperti solat, kerana solat adalah hubungan seorang hamba dengan penciptanya. kita juga perlulah sentiasa berdoa supaya diberikan kejayaan dan kesejahteraan dalam hidup ini.
Kesimpulannya, semua orang inginkan kejayaan dalam apa jua perkara yang dilakukan kerana ianya menjadi impian setiap orang. Tiada siapa yang ingin berada dalam kehidupan yang susah, kecewa, derita dan sebagainya. Sudah tentu kita selalu ingin hidup bahagia dan berjaya seperti orang lain juga. Tapi ingatlah, dalam kita mengejar kejayaan hidup di dunia ini, kita janganlah sampai melupakan kejayaan kita untuk hari akhirat juga. Sama-samalah kita berusaha untuk mengecapi apa saja kejayaan yang kita inginkan.

 "Jom jadi insan hebat di dunia & di Akhirat"

07 October 2013

Assalamualaikum


Amalan memberi dan menjawab salam sesama muslim masih lagi kurang dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Kebanyakkan kita hanya memberi salam kepada rakan-rakan yang kita kenali sahaja. Budaya memberi dan menjawab salam juga bagaikan sudah hilang ditelan zaman dan digantikan dengan ucapan “hello”, “hai”, “how are you” dan sebagainya.

Menyebarkan salam adalah merupakan salah satu sunnah dari Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. yang sangat dituntut dalam Islam. Ianya adalah satu cara mudah yang akan membawa kita untuk menuju ke jalan yang diredhoi ALLAH s.w.t. Perkataan salam itu sendiri adalah salah satu dari nama-nama ALLAH. Apabila kita sering mengucapkan salam bererti kita selalu berada dekat kepada Nya.

Ucapan salam itu adalah termasuk dalam doa sesama muslim. Memberi dan menjawab salam bererti saling mendoakan antara seorang muslim kepada muslim yang lain. Jika diamalkan dalam kehidupan seharian, maka kehidupan akan sentiasa beroleh kesejahteraan dan akan terus diberkati oleh Nya.

Apabila kita memberi salam janganlah kita khususkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja. Ini kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak senang oleh orang disekeliling kita. Latihlah diri kita untuk memberikan salam kepada semua muslim tidak kiralah kita mengenali mereka atau tidak.

Adalah lebih baik sebenarnya bagi kita untuk yang mulakan dahulu memberi salam kepada orang lain sebelum orang lain memberi salam kepada kita. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya seutama-utama manusia dengan ALLAH s.w.t adalah orang yang terlebih dahulu memberi salam” Disini telah ternyata bahawa kita digalakkan memberi salam dahulu apabila kita berjumpa dengan muslim yang lain.

Walaupun memberi salam itu sunat tapi menjawab salam adalah menjadi wajib bagi seorang muslim. Pahala memberi salam juga adalah lebih besar daripada menjawab salam. Cara menjawab salam yang paling baik adalah menjawab secara penuh dan sempurna iaitu “waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Inilah jawapan yang kita berikan sesama umat islam dalam menjawab salam.

Sebagai kesimpulan, sentiasalah mengamalkan budaya salam dalam kehidupan seharian kita. Ringankan mulut untuk mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja walaupun orang yang tidak dikenali. kita tidak akan rugi apa-apa pun malah akan mendapat pahala dari ALLAH dan kehidupan kita pun akan sentiasa dipenuhi kebahagiaan dan kasih sayang di dunia dan di akhirat.

Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar) 


06 October 2013

Iklan Pulak


Kalau korang nak beli kete, info-info lah. Just PM kat muke buku aku tu. Aku sedia membantu.




04 October 2013

Zulhijjah Musim Ibadah

Assalamu’alaikum muslimin dan muslimat yang dirahmati ALLAH

Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji yang dirayakan oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan hari raya yang terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas hari bulan Zulhijjah setiap tahun. Terbenamnya matahari pada hari esok, Sabtu, 5 Oktober 2013, maka bermulalah bulan terakhir di dalam takwim Islam iaitu bulan Zulhijjah. Sekadar sedikit perkongsian ilmu, berikut adalah beberapa amalan sunat yang boleh dilakukan pada 10 pertama pada bulan Zulhijjah untuk rujukan kita bersama.

Zikir
  • Iaitu dengan memperbanyakkan zikir kepada ALLAH dengan menyebut Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Berpuasa 
  • Amat digalakkan untuk berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah, maka hendaklah pergandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi ALLAH s.w.t dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya. Berikut pula antara amalan sunat yang boleh kita amalkan pada 10 hari bulan zulhijjah. 
  • Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.  
  • Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
  • Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
  • Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
  • Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat Aidiladha.
  • Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
  • Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
  • Bertakbir, tahmid dan tahlil.
  • Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
  • Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
  • Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.  
  • Perbanyakkan membaca doa Nabi Yunus.
Sekian dahulu perkongsian ilmu aku untuk kali ini. Jika terdapat kesalahan dan kesilapan, mohon rakan-rakan memberi maklumbalas dan teguran membina kepada aku. Aku hanya manusia biasa yang sentiasa melakukan kesalahan untuk diperbaiki. Perbanyakkan doa pada ALLAH s.w.t supaya diberi kesempatan bagi kita semua untuk melakukan amalan-amalan sunat ini. Semoga kita mendapat keberkatan dan segala amalan kita diterima oleh ALLAH s.w.t sebagai bekalan kita di akhirat kelak.

"In Sya ALLAH"

03 October 2013

Atasi Sifat Marah

Sifat marah bagi setiap manusia adalah lumrah dan terjadi di mana-mana juga pun, dan kadangkala akan berterusan sekiranya ianya tidak diberi perhatian yang serius. Apa yang penting sekali, janganlah sesuatu kemarahan itu menjadi punca pertelingkahan atau persengketaan yang berpanjangan walaupun ia bermula dari sesuatu perkara yang kecil dan remeh. Kita tidak seharusnya dikawal oleh emosi sebaliknya kita yang perlu mengawal emosi. Sememangnya, setiap kemarahan perlu ada keseimbangan akal dan fikiran untuk mengawalnya, apatah lagi ianya berkaitan prinsip dan ideologi kita sendiri. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan keharmonian masyarakat. Terdapat beberapa langkah mengawal kemarahan sebagai panduan untuk kita sama-sama amalkan.

Bawa-bawalah bertenang 
  • Bila kita menyarankan seseorang supaya bertenang apabila dia marah, sedih dan sebagainya, pernahkah kita terfikir untuk mengajak atau mengajar cara-cara untuk menenangkan diri? Apa yang selalu aku praktikkan bila aku mahu bertenang menenangkan diri sendiri, aku akan tarik nafas dalam-dalam sekitar 7-9 saat, dan lepaskan perlahan-lahan juga sekitar 7-9 saat dan beristighfar semasa melepaskan nafas, sebutkan “astagfirullah hal ‘aziim al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaik” dan tumpukan fikiran serta memohon ampun daripada ALLAH. In sya ALLAH, kita akan tenang kembali. 

Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
  • Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati. 

Membaca al-Quran, zikir dan selawat
  • Ganjaran yang besar akan diberikan ALLAH bagi sesiapa yang membaca al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab. Kita juga boleh mengurangkan tekanan perasaan dengan berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan ALLAH s.w.t tetap akan ada. 

Cintai diri sendiri
  • Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain.” Kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. 

Banyakkan solat sunat
  • Sebagai makhluk paling mulia di sisi ALLAH, kita dituntut membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat dhuha, solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat tahajud dan sebagainya adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada ALLAH. 

Selalu berdoa kepada Allah SWT
  • Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita dituntut berdoa hanya kepada ALLAH yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-ALLAH, ALLAH akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada ALLAH yang Esa.
Mengurus masa dengan baik 
  • Usahlah bersikap tamak untuk menghabiskan semua kerja dalam satu masa. Cuba patuhi waktu pejabat dan jangan terselalu membuat kerja lebih masa kerana setiap kita ada hak-hak yang perlu kita tunaikan. Belajarlah cara kemahiran pengurusan diri dan masa, seperti menetapkan keutamaan.
Berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan jangan bersendirian 
  • Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Berbicaralah dengan mereka yang boleh anda percayai atau hubungi sesiapa sahaja yang anda kenali. Cuba luahkan ekspresi tanpa limitasi, tidak kira sama ada waktu sedih mahupun gembira, kongsikan perasaan anda dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang anda rasa selesa dengannya. Bergaullah dengan orang-orang yang bukan dalam kemurungan. 
Oleh itu, terimalah bahawa segala kekurangan yang diberikan oleh ALLAH pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Banyak perkara buruk yang berlaku dalam kehidupan kita sebenarnya membawa seribu erti untuk kita terokai dan hayati. Justeru, sama-samalah kita beristiqhfar dan berdoa agar sentiasa dijauhi daripada sifat marah.

"Selamat mencuba"

02 October 2013

Fitnah Sana Sini


Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan ALLAH sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah. Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah. Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah.

Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun. Penyebaran fitnah semakin mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. 

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan ALLAH, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan. Hakikatnya, dosa membuat fitnah adalah menjauhkan diri dari syurga.

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah. Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. 

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama. Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah (mohon tegur jika aku silap tentang sejarah tersebut). Elakkan diri daripada menjadi agen-agen penyebaran fitnah dan perbanyakkan taubat dan berzikir kerana itulah penawar bagi penyakit hati.

"Renung-Renungkanlah Dan Muhasabahlah Dengan Hati Yang Ikhlas"

01 October 2013

Hati Yang Kecewa & Terluka


Hati sedang kecewa dan terluka?
Hati sedang sangat lemah?
Tidak tenang?

Didalam dunia ini, tiada siapa yang mahu merasa kecewa dan terluka. Apatah lagi menjadi lemah akibat daripada permainan perasaan ini. Merasa lemah dan tidak tenang sehinggakan air mata ingin sekali untuk menitis setiap waktu.

Cinta itu ada pasang surutnya. Setiap pertemuan pasti bertemu perpisahan. Namun bukan semua masalah kekecewaan berlaku kerana percintaan & masalah jodoh. Ada juga yang kecewa mungkin kerana perkara lain. Boleh jadi akibat terluka dengan tindakan ibu bapa. Malah, mungkin juga berkecil hati dengan sikap rakan-rakan kita. Pendek kata banyak perkara yang membuatkan hati kita menjadi remuk rendam dan membuatkan kita merasa lemah.

Aku pun tidak terlepas dari perasaan ini. Dikala ini, hati ku diselubungi kekecewaan. Kekecewaan ini bagi aku amat-amat menyakitkan. Sehingga aku terasa berputus asa dan ingin lari jauh membawa diri. Apabila aku ingin mengelak daripada kelihatan lemah, aku berpura-pura kuat, tersenyum, tetapi dalam hati siapa yang tahu betapa peritnya dihati. Namun, sampai bila aku harus hidup dengan kepura-puraan? Aku hanyalah manusia biasa yang dikurniakan hati dan perasaan.

Izinkan aku berkongsi beberapa cara yang aku dapat dari nasihat rakan-rakan aku untuk menguatkan dan menenangkan kembali hati yang sedang lemah. In sya ALLAH, aku juga hamba Allah yang mengalami situasi ini, semoga beberapa petua yang dikongsikan ini dapat memberi dan membantu korang semua.

Membaca Surah Yassin 
  • Mungkin selama ini kita kurang membaca Al – Quran atau jarang sangat membuka kitab suci ini. Mungkin ini salah satu sebab kita mudah untuk terganggu dan merasa tidak tenang. Oleh itu marilah kita kembali menghidupkan amalan ini. Apa yang aku difahamkan surah ini memang mempunyai aura yang mampu menenangkan hati (kalau info salah tolong tegur ye). Amalkan ia selepas habis solat dan bolehlah beransur menambah bacaan surah-surah yang lain.
Solat Sunat Tahajjud
  • Bangunlah melakukan solat malam iaitu solat sunat Tahajjud. Tujuan solat Tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup. Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.      
Tips supaya mudah nak bangun
i. Berwudhuk sebelum tidur
ii. Baca doa tidur dan niat didalam hati untuk bangun ditengah malam
iii. Kunci jam
Banyakkan Istigfar Dan Berzikir
  • La haula wala quwwata illa billah (Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah) 
  • Hasbunallaah wa ni’mal wakiil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung)
  • Harus diingat, zikir bukan sahaja di mulut tetapi harus sampai masuk ke hati.

Elakkan Mendengar Lagu Bertema Kecewa – Kekecewaan
  • Ini penting kepada mereka yang baru sahaja mengalami putus cinta / tunang. Hindarilah dari suasana yang boleh membuatkan kita sebak. Elakkan mendengar lagu yang bertemakan putus cinta & kecewa. Kita ingin menenangkan hati, bukan ingin menyesakkan hati kan? Jangan menabur garam diatas luka kerana ianya pedih. Biarlah dahulu luka itu sembuh (aku kalau patah hati sebenarnya pun suka dengar lagu yang macam gini. Layan perasaan. Hehe.) 
Sentiasalah mengingati ALLAH
  • Ini yang paling penting sekali. Sentiasa mengingati ALLAH. Yakinlah dengan sepenuh hati bahawa ALLAH maha mengetahui dan sentiasa bersama kita walaupun apa pun. Apa yang membuat kita sedih, ALLAH lebih Maha Kuasa Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Yakinlah kesedihan dan rasa tidak tenang yang ALLAH beri itu adalah agar kita kembali mengingatiNYA. He loves you no matter what. 
Sebenarnya, aku sendiri masih mencuba segala tips yang telah aku kongsikan ini. Maklumlah, aku manusia biasa sering terlupa jadi aku abadikan nasihat yang aku terima ini didalam entry kali ini untuk rujukan kita bersama. In Sya ALLAH. Segala yang baik datangnya dari ALLAH dan yang buruk dari diri aku yang hina ini. Selamat mencuba. 

"Yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan"

30 September 2013

Thank You ALLAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam ukhwah.

Ramai diantara kita tidak mensyukuri dengan apa yang kita ada, namun apa yang tiada pada kita yang sering kita risaukan. Apa yang berada di depan mata seringkali tidak kita perhatikan, namun apa yang telah pergi sering kita tangisi. Begitulah lumrah manusia.

Syukur manusia kepada ALLAH dimulai dengan menyedari dari lubuk hatinya betapa besarnya nikmat dan anugerah Nya disertai dengan ketundukan dan kekaguman yang melahirkan rasa cinta kepada Nya dan dorongan untuk bersyukur dengan hati, ucapan dan perbuatan.

Bersyukur Melalui Hati
  • Syukur dengan hati dilakukan dengan menyedari sepenuhnya bahawa nikmat yang diperoleh adalah semata-mata kerana anugerah dan kemurahan Ilahi. Syukur dengan hati bermaksud menerima anugerah dengan penuh kerelaan tanpa mengeluh walaupun betapa kecilnya nikmat tersebut. 
Bersyukur Melalui Ucapan
  • Al-Quran telah mengajarkan kita untuk melafazkan "Alhamdulillah" yang bermaksud  segala pujian bagi Allah diatas nikmat yang diberikan kepada kita. Tidak kiralah nikmat itu baik atau sebaliknya, basahkanlah lidah kita menyebut "Alhamdulillah" sebagai tanda syukur kita kehadrat Illahi tuhan segala alam. Ketahuilah ALLAH amat menyayangi hambanya yang selalu merakamkan rasa syukur kepada NYA.
Bersukur Melalui Perbuatan

  • Melalui perbuatan, kita dapat bersyukur kepada Nya dengan menghayati makna syukur itu sendiri. Syukur juga diertikan sebagai “menggunakan anugerah Ilahi sesuai dengan tujuan penganugerahannya”. Hal Ini bererti kita harus dapat menggunakan segala yang dianugerahkan oleh ALLAH di alam raya ini sesuai dengan tujuan ALLAH menciptakannya. Pelajarilah mengapa laut, angin, bumi, dan lain-lain diciptakan ALLAH, kemudian gunakanlah ciptaan itu sebaik mungkin sesuai dengan tujuan penciptaannya seiring dengan kedudukan kita sebagai khalifah dimuka bumi ini.
Perlu diketahui juga, bahawa mengabaikan sikap bersyukur itu akan menjadikan kita itu kufur nikmat. Seseorang yang kufur nikmat akan mendapat kemurkaan ALLAH swt, dan di akhirat nanti ALLAH janjikan azab yang pedih dan menyakitkan. Mereka adalah orang-orang yang kufur, kafir nikmat Allah swt. Janji ALLAH itu pasti. Mahukah kita tergolong didalam kelompok manusia yang dimurkai ALLAH? Tepuklah dada, tanyalah iman.

Bersyukur adalah satu kewajipan, ia bermaksud setiap hamba mestilah bersyukur kepada ALLAH swt atas segala nikmat yang telah diberikan. Salah satu cara untuk bersyukur adalah, dengan melihat hal-hal lain yang berada di bawah kita. Apa yang aku ingin katakan disini adalah sedikit cara meraih rasa syukur itu sendiri. Selalulah melihat yang berada di bawah kita dan jangan melihat yang ada di atas kita. Jika kita yang hanya memiliki sebuah motor, bersyukurlah kerana kita masih dapat memiliki motor dari orang yang hanya berjalan kaki untuk kegiatan hariannya. Dengan hanya berjalan pun perlulah mengungkapkan kesyukuran kerana kita masih memiliki kaki yang sihat dan dapat menampung tubuh kita untuk berjalan. Bahkan, orang yang tidak memiliki kaki pun perlulah merasa bersyukur kepada Allah swt, kerana betapa banyaknya orang yang memiliki kaki namun kedua kakinya hanya digunakan untuk melangkah ke tempat-tempat maksiat dan tidak digunakan untuk melangkah ke tempat-tempat yang baik dan diredhoi Allah SWT.

Nilailah balik diri kita, betapanya tidak bersyukurnya kita pada Yang Maha Esa. Sesungguhnya nikmat Allah yang diberikan akan lebih terasa jika telah kita bersyukur. Oleh kita perlu mensyukuri dan menikmati sekecil apapun kebahagiaan yang kita raih di hari ini kerana belum tentu lagi kebahagiaan serupa ini akan menghampiri kita pada esok hari.
“Renung-Renungkan Dan Selamat Beramal”

Andai Dapat Ku Undur Masa

Begitu pantas masa berlalu, sehingga aku tidak sedar Ahad telah meninggalkan kita dan Isnin datang menjelma. Sewaktu aku set reminder untuk Walimatul Urus sepupu aku di Perak bulan November pada smart phone aku ini, aku terfikir satu perkara yang amat menarik. Seandailah masa boleh diundur kembali. Apa first thing yang korang nak ubah? Walaupun aku tahu, itu tak mungkin berlaku. Tapi anggaplah jika masa itu boleh diundur. 
 
Saat aku menulis coretan ini, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu yang sudah lama aku lupa dan tinggalkan. Sejarah. Andai kata sejarah boleh diubah, sudah pasti saban tahun generasi muda terpaksa menukar buku sejarah mereka. Sekiranya masa boleh diundur, aku pasti semua umat manusia mahu kembali ke zaman silam dan membetulkan segala kesilapan. Jika masa ini boleh dicepatkan, aku juga pasti bahawa kita semua mahu melihat masa depan kita. Dengan siapa kita akan berkahwin dan bagaimana rupa kehidupan kita pada masa itu. Betol tak?

Walaupun kita tidak dapat kembali ke masa lampau, kita seharusnya membuat perubahan dan mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Destinasi kita itu pasti dan sudah ditetapkan. Yang membezakan kita semua adalah jalan mana yang diikuti dan bagaimana caranya kita semua melalui jalan tersebut. Seringkali kita lihat, ada diantara kita tergelincir dari landasan yang sepatutnya. Aku sendiri tidak terkecuali, kapan kali terkandas di pertengahan perjalanan kerana lorong-lorong kehidupan yang disangkakan lurus, kadang kala ada bengkang-bengkoknya serta ada simpang siurnya. Itulah erti kehidupan di dunia ini, yang tidak pernah sunyi daripada ujian kerana ujian itu tanda kasih dan sayang ALLAH kepada hambanya. Perbanyakkan doa memohon bantuan dari yang Maha Esa. Sentiasalah bersangka baik dengan ALLAH apabila jalan hidup kita begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik buat kita. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Disaat kita lemah dan terhimpit, hanya Dialah ada meniupkan semangat dan kekuatan. Bersyukurlah.
 
"Segala yang baik datang dari ALLAH dan yang hina dari diri aku sendiri"

29 September 2013

Aku Mahu Berubah

“Aku nak berubah, tapi aku tunggu datang seru..”

“Ala..rilek la, masih muda lagi. Tunggu tua nanti baru taubat..”

 “Ala..enjoy-enjoy dulu.. lepas kahwin baru berubah..”

“Aku takde kekuatan la nak berubah..”

“Aku masih belum bersedia untuk berubah..”

“Iman aku masih lemah lagi..”

“Aku nak berubah..tapi takut nanti takde siapa nak kawan dengan aku..”

“Nak berubah? Skema la lu bro.. sekarang zaman moden la, apa barang nak jadi orang kampung..”

Biasa dengar irama ayat-ayat macam ni..?

Berubah atau berhijrah, adalah satu ungkapan yang betul-betul buat semua orang teruja. Apatah lagi berhijrah daripada sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Nak berhijrah atau berubah ni tak susah sebenarnya, tetapi untuk kekal dalam perubahan atau penghijrahan itu yang amat sukar. 

Penghijrahan itu perlu Istiqamah. Namun terdapat seribu satu dugaan yang akan dihadapi bagi mereka yang ingin berhijrah ke arah yang lebih baik. Contohnya, dulu dia tidak menutup aurat, tapi pintu hatinya terbuka dengan hidayah Allah dan ingin berubah. Pada hari pertama Alhamdulillah, tetapi disebabkan persekitaran yang memaksa, dia menjadi tergugat dan seterusnya berputus asa untuk berubah. Itulah antara faktor yang mengganggu istiqamah kita, tidak kiralah faktor luaran atau dalaman.

Persoalannya, perlukah kita berubah secara mendadak ataupun beransur-ansur?

Ada yang berpendapat, perubahan perlu dilakukan secara beransur-ansur agar tidak berlaku kejutan pada diri kita dan persekitaran. Bayangkan jika dahulu kita selalu melepak bersama kawan-kawan, tetapi dengan sekelip mata, kita sekarang ini kita tidak mahu lagi berkawan dengan mereka atas alasan tidak mahu membuang masa. Tentu perasaan mereka akan terguris dengan perbuatan kita.

Ada juga yang mengatakan bahawa jika ingin berubah, haruslah secara menyeluruh dan semaksimum mungkin, kerana ajal dan maut itu akan datang pada bila-bila sahaja. (bimbang ajal menjemput sebelum sempat bertaubat)

Bagi aku, kedua-dua pendapat tersebut boleh diterima. Melakukan perubahan tidaklah semudah yang kita bayangkan atau harapkan. Lebih sukar lagi ia membabitkan perkara-perkara besar yang akan menentukan corak hidup dan masa depan kita, perubahan itu akan terasa berat dan sukar.

Untuk persoalan ini, sebenarnya  kita seharusnya melihat skop atau dari sudut apakah yang kita ingin lakukan perubahan itu. Sudut ini terbahagi kepada dua, iaitu berubah dari sudut penampilan dan berubah dari sudut  perangai/gaya hidup. 

Untuk sudut penampilan, kita boleh berubah sepenuhnya tanpa mengikut step. Sebagai contoh,  jika dahulunya kita seorang yang berpakaian tidak menutup aurat, bila kita ingin berubah kita boleh memakai pakaian yang sepenuhnya menutup aurat.

Tetapi bagi sudut perangai dan gaya hidup pula, suka atau tidak,  memang perubahan itu perlu dididik sedikit demi sedikit, kerana ia sudah menjadi berdarah daging dalam diri kita yang sukar untuk diubah.

Ia diibaratkan, jika dari dulu kita menconteng sedikit demi sedikit pada dinding yang luas sehingga pada suatu masa kita ingin membersihkan balik contengan itu, sudah pasti kita tak mampu untuk memadamnya sekaligus. Tetapi kita boleh membersihkannya sedikit demi sedikit,  sehingga contengan itu tidak kelihatan.

Aku akui, perubahan atau penghijrahan ini merupakan suatu yang amat sukar. Namun, keinginan untuk berubah adalah tanda yang ALLAH masih sayangkan kita. Kita perlu yakin bahawa, ALLAH sentiasa bersama kita kerana ALLAH itu Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Berdoalah kepada ALLAH mohon kekuatan daripada NYA semoga perubahan diri kita ini berkekalan. In Sya ALLAH.

"Berubah memang sukar, tetapi istiqamah dalam perubahan itu lebih sukar"