07 October 2013

Assalamualaikum


Amalan memberi dan menjawab salam sesama muslim masih lagi kurang dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Kebanyakkan kita hanya memberi salam kepada rakan-rakan yang kita kenali sahaja. Budaya memberi dan menjawab salam juga bagaikan sudah hilang ditelan zaman dan digantikan dengan ucapan “hello”, “hai”, “how are you” dan sebagainya.

Menyebarkan salam adalah merupakan salah satu sunnah dari Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. yang sangat dituntut dalam Islam. Ianya adalah satu cara mudah yang akan membawa kita untuk menuju ke jalan yang diredhoi ALLAH s.w.t. Perkataan salam itu sendiri adalah salah satu dari nama-nama ALLAH. Apabila kita sering mengucapkan salam bererti kita selalu berada dekat kepada Nya.

Ucapan salam itu adalah termasuk dalam doa sesama muslim. Memberi dan menjawab salam bererti saling mendoakan antara seorang muslim kepada muslim yang lain. Jika diamalkan dalam kehidupan seharian, maka kehidupan akan sentiasa beroleh kesejahteraan dan akan terus diberkati oleh Nya.

Apabila kita memberi salam janganlah kita khususkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja. Ini kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak senang oleh orang disekeliling kita. Latihlah diri kita untuk memberikan salam kepada semua muslim tidak kiralah kita mengenali mereka atau tidak.

Adalah lebih baik sebenarnya bagi kita untuk yang mulakan dahulu memberi salam kepada orang lain sebelum orang lain memberi salam kepada kita. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya seutama-utama manusia dengan ALLAH s.w.t adalah orang yang terlebih dahulu memberi salam” Disini telah ternyata bahawa kita digalakkan memberi salam dahulu apabila kita berjumpa dengan muslim yang lain.

Walaupun memberi salam itu sunat tapi menjawab salam adalah menjadi wajib bagi seorang muslim. Pahala memberi salam juga adalah lebih besar daripada menjawab salam. Cara menjawab salam yang paling baik adalah menjawab secara penuh dan sempurna iaitu “waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Inilah jawapan yang kita berikan sesama umat islam dalam menjawab salam.

Sebagai kesimpulan, sentiasalah mengamalkan budaya salam dalam kehidupan seharian kita. Ringankan mulut untuk mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja walaupun orang yang tidak dikenali. kita tidak akan rugi apa-apa pun malah akan mendapat pahala dari ALLAH dan kehidupan kita pun akan sentiasa dipenuhi kebahagiaan dan kasih sayang di dunia dan di akhirat.

Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar) 


No comments:

Post a Comment