Pujangga
pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan.
Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti
menuju ke jurang kehancuran. Mencari sahabat sejati bukanlah mudah kerana ramai
yang bersama kita hanya ingin berkongsi suka, namun kurang yang ingin menemani
kita meniti duka.
Sahabat dan kawan membawa
pengertiaan yang berbeza. Aku bersahabat dan berkawan mengikut fasa
kehidupan yang berbeza. Ia bermula dari kecil, tadika, sekolah rendah, menengah
dan alam perkerjaan. Ada yang kekal sehingga sekarang, dan ada yang hanya
sementara. Mungkin dan pasti akan bertambah lagi menjadi sejarah
menyelusuri kehidupan sehingga sampai saatnya mati datang menjemput.
Sahabat
sejati nilainya tiada bandingan. Dia ibarat berlian yang terbenam di dasar
lumpur. Meskipun berbalut kekotoran, gemerlap sinarnya terserlah jua. Sahabat
sejati juga menjunjung erti setiakawan, kejujuran dan bertanggugjawab. Sama
bergembira di waktu senang, membimbing dan membantu sewaktu diri
tergelincir dari batasan.
Sahabat
sejati tidak semestinya perlu berada di sisi kita setiap masa. Mungkin dalam
setahun, pertemuan dengannya boleh dihitung dengan jari. Namun, hubungan
dalaman yang erat terjalin sebati di dalam jiwa. Biarpun jauh, nilai
persahabatan yang sedemikian akan tergenggam erat dalam diari ingatan.
No comments:
Post a Comment