09 October 2013

Penyakit Hati - Sombong

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan yang dimiliki perlulah digunakan untuk membantu masyarakat sekeliling dan kekurangan kita pula bukanlah sesuatu yang kita perlu kesali. ALLAH menganugerahkan kelebihan itu untuk kita gunakan ke jalan yang benar berlandaskan syariat Islam. Namun amat menyedihkan perasaan sombong dan angkuh sering hadir dari kelebihan yang dimiliki. Kelemahan pula bukanlah sesuatu yang ganjil. Janganlah kita merungut pada diri kita, sebaliknya belajarlah untuk mengatasi kelemahan tersebut.

Jika kita bijak pandai. Alhamdulillah.
Jika kita kaya. Alhamdulillah.
 
Perlulah kita bersyukur diatas kurniaan NYA, bukan hanya setakat dibibir tetapi, didalam pengaplikasian hidup kita. Jangan pernah sekali memandang rendah pada seseorang yang mungkin tidak sehebat diri kita, elaklah diri dari menghina insan lain yang serba tak upaya dan  memperlekehkan manusia yang mungkin tidak sebijak dan sepandai kita.

Beringatlah rakan-rakan, janganlah disebabkan kerana kekayaannya, kita dekat dengannya. Kerana kepandaiannya, kita jadi sahabat baiknya dengan meminggirkan sahabat-sahabat  yang lain. Bukan juga kerana luaran yang cantik dan popular, kita mahu bersahabat dengannya. Jika kerana itulah nilai ukhuwah yang dibina, persahabatan itu tidak akan berkekalan. Mengapa?
  1. Kalau dia jatuh miskin, pasti kita akan menjauhinya. Hilang sudah erti persahabatan.
  2. Kalau dia hilang ingatan, kemudian, tidak sebijak dulu, kita pasti akan meninggalkannya kerana dia sudah tidak berguna lagi untuk kita. Hilang sudah erti sebuah ukhuwah.
  3. Kalau dia kemalangan, ada parut di muka, ada cacat celanya, pasti kita sudah tidak mahu mengaku kawan lagi. Hilang sudah semua yang dibina.
Sepandai mana pun kita, sekaya mana pun kita, taraf kita semua tetap sama. Semoga sepasang mata yang kita miliki, mampu melihat kebaikan. Semoga sekeping hati yang dianugerahkan, mampu memaafkan kesalahan. Semoga minda yang kurniakan, mampu melupakan kepahitan. Semoga jiwa yang diberikan, tidak pernah rapuh dari imannya. Semaikanlah iman dan takwa dalam setiap pertemuan kita. Terimalah orang sekeliling kita seadanya dengan hati yang ikhlas. Bantuilah mereka yang lemah dengan kelebihan yang kita miliki. Bersama-samalah kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. 


Jadikan ALLAH itu matlamat sebenar kita. Bukan kerana cinta manusia, baru kita mahu mendekati ALLAH. Bukan kerana mahu berjaya dalam hidup, baru kita merapati ALLAH. Andai begitulah hakikatnya, pasti kita akan cepat lupakan kepada Nya apabila segala yang kita minta telah dimakbulkan dan mungkin juga kita akan berputus asa untuk berdoa dan mengharap kepada Nya sekiranya doa kita tidak diperkenankan.


Jangan sesekali bersikap begitu. Jangan jadikan cinta, kejayaan dan lain-lain lagi sebagai matlamat utama. Sebaliknya, jadikan semua itu bermatlamatkan ALLAH Yang Maha Esa. Kita bercinta dan berkasih sayang dengan manusia kerana Allah. Kita mahu berjaya dalam hidup sekalipun biarlah kerana ALLAH. Kita mahu kecapi apa yang kita impikan adalah kerana ALLAH. Itulah matlamat sebenar hidup kerana hidup mati kita hanya untuk ALLAH. 


"ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong"

No comments:

Post a Comment