Sifat marah bagi setiap manusia adalah lumrah dan terjadi
di mana-mana juga pun, dan kadangkala akan berterusan sekiranya ianya
tidak diberi perhatian yang serius. Apa yang penting sekali, janganlah
sesuatu kemarahan itu menjadi punca pertelingkahan atau persengketaan
yang berpanjangan walaupun ia bermula dari sesuatu perkara yang kecil
dan remeh. Kita tidak seharusnya dikawal oleh emosi sebaliknya kita yang perlu mengawal emosi.
Sememangnya, setiap kemarahan perlu ada keseimbangan akal dan fikiran
untuk mengawalnya, apatah lagi ianya berkaitan prinsip dan ideologi kita
sendiri. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia
memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan
keharmonian masyarakat. Terdapat beberapa langkah mengawal kemarahan sebagai panduan untuk kita sama-sama amalkan.
Bawa-bawalah bertenang
- Bila kita menyarankan seseorang supaya bertenang apabila dia marah, sedih dan sebagainya, pernahkah kita terfikir untuk mengajak atau mengajar cara-cara untuk menenangkan diri? Apa yang selalu aku praktikkan bila aku mahu bertenang menenangkan diri sendiri, aku akan tarik nafas dalam-dalam sekitar 7-9 saat, dan lepaskan perlahan-lahan juga sekitar 7-9 saat dan beristighfar semasa melepaskan nafas, sebutkan “astagfirullah hal ‘aziim al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaik” dan tumpukan fikiran serta memohon ampun daripada ALLAH. In sya ALLAH, kita akan tenang kembali.
Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
- Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
Membaca al-Quran, zikir dan selawat
- Ganjaran yang besar akan diberikan ALLAH bagi sesiapa yang membaca al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab. Kita juga boleh mengurangkan tekanan perasaan dengan berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan ALLAH s.w.t tetap akan ada.
Cintai diri sendiri
- “Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain.” Kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
Banyakkan solat sunat
- Sebagai makhluk paling mulia di sisi ALLAH, kita dituntut membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat dhuha, solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat tahajud dan sebagainya adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada ALLAH.
Selalu berdoa kepada Allah SWT
- Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita dituntut berdoa hanya kepada ALLAH yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-ALLAH, ALLAH akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada ALLAH yang Esa.
Mengurus masa dengan baik
- Usahlah bersikap tamak untuk menghabiskan semua kerja dalam satu masa. Cuba patuhi waktu pejabat dan jangan terselalu membuat kerja lebih masa kerana setiap kita ada hak-hak yang perlu kita tunaikan. Belajarlah cara kemahiran pengurusan diri dan masa, seperti menetapkan keutamaan.
Berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan jangan bersendirian
- Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Berbicaralah dengan mereka yang boleh anda percayai atau hubungi sesiapa sahaja yang anda kenali. Cuba luahkan ekspresi tanpa limitasi, tidak kira sama ada waktu sedih mahupun gembira, kongsikan perasaan anda dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang anda rasa selesa dengannya. Bergaullah dengan orang-orang yang bukan dalam kemurungan.
Oleh itu, terimalah bahawa segala kekurangan yang diberikan oleh ALLAH pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Banyak perkara buruk yang berlaku dalam kehidupan kita sebenarnya membawa seribu erti untuk kita terokai dan hayati. Justeru, sama-samalah kita beristiqhfar dan berdoa agar sentiasa dijauhi daripada sifat marah.
"Selamat mencuba"
No comments:
Post a Comment