Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia
dan nikmat paling agung diberikan ALLAH sebagai titik untuk menilai
keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan
diterima sebagai pahala atau sebaliknya. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak,
sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang
berpunca daripada hati. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada
diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita
ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai
fitnah. Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah
menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah
berkenaan.
Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan
gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi
terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin
berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang
suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh
dijadikan bahan fitnah. Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai
saluran yang merebak dengan mudah.
Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama
sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak
membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun. Penyebaran fitnah semakin mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden
sekarang.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu
berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib
bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit
dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan
dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak
terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak
mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan
menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya
dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau
kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya
sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia.
Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan ALLAH, melainkan orang yang
difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar
satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti
tiada apa merugikan. Hakikatnya, dosa membuat fitnah adalah menjauhkan diri dari syurga.
Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia
cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah
menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah
akan menjadi muflis di akhirat nanti. Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’
mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar
daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang
dan kemudian disebarkan seperti berita benar.
Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi
mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita
berunsur fitnah. Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan
berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula
menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.
Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian
khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang
berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama. Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama
Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan
zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah
kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana
fitnah (mohon tegur jika aku silap tentang sejarah tersebut). Elakkan diri daripada menjadi agen-agen penyebaran fitnah dan perbanyakkan taubat dan berzikir kerana itulah penawar bagi penyakit hati.
No comments:
Post a Comment