Wahai kawan,
Jadikanlah kehidupan kita di bumi sementara ini berpandukan nur iman dan Islam
bukannya berdasarkan nafsu yang sentiasa inginkan kebebasan dan keseronokan
yang tidak berkesudahan. Seorang ulama’ telah mengukirkan ungkapan indah
bagaimana ALLAH mencipta malaikat dengan diberikan kepada mereka akal tanpa
nafsu, binatang pula dianugerahi nafsu tanpa akal manakala manusia diberikan
keduanya sekali iaitu akal dan nafsu. Sesiapa yang mampu mengawal nafsunya
dengan akal yang berpandukan syariat Ilahi maka dia lebih baik daripada malaikat
tetapi jika dia tewas dengan pujukan nafsunya maka dia lebih hina daripada binatang.
Kita juga pernah mendengar kisah bagaimana seorang ‘abid di
zaman silam apabila terdetik sahaja kehendak nafsunya yang inginkan
keseronokan maka dia akan berguling di atas padang pasir yang panas sambil
mengatakan kepada dirinya sendiri adakah tubuhnya akan dapat menahan daripada
azab neraka yang lebih panas daripada itu.
Seorang yang lain pula menangis sehingga hilang penglihatannya kerana
menyesal dengan dosa yang dilakukan.
Tidak ketinggalan dicoretkan bagaimana seorang hamba yang bertaqwa
tetapi pada suatu hari seolah-olah kehilangan kuasa untuk mengawal kehendak
nafsunya dan cuba melakukan zina dengan seorang pelacur yang dilihatnya tetapi
sebelum terlanjur ke arah kemungkaran dia tersebut nama Allah lalu dia jatuh dan
menggelempar serta menghembuskan nafas terakhir di situ juga kerana begitu
ketakutan dengan apa yang cuba dilakukan.
Bagaimana pula dengan diri kita wahai teman? Godaan dan cubaan berada di
sekitar kita. Adakah kita telah cuba sedaya yang mungkin di dalam
menghindarinya ataupun kita sendiri dihanyutkan oleh keadaan sekeliling? Jagalah
pancaindera kita daripada kemungkaran yang melata. Ingatlah pesanan Rasulullah
S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi :
“Hamba yang baik ialah mereka yang beragama dan
menyediakan bekalan amalan selepas mati. Manakala orang sombong adalah
mereka yang mengikut kehendak nafsu dan mengharapkan belas kasihan ALLAH
semata-mata.”
Wahai teman,
Bagaimana pula dengan ibadat seharian kita? Adakah kita
merasakan ia sudah banyak dan mencukupi sedangkan kita pernah membaca kisah
mengenai seorang lelaki telah beribadat kepada ALLAH selama 70 tahun. ALLAH telah mengutuskan malaikat kepadanya dan menyatakan
bahawa ibadatnya yang begitu banyak tidak mampu menjamin dia untuk merasai
nikmat Syurga ALLAH. Lalu dia menyatakan bahawa dia beribadat kerana dia
dijadikan untuk beribadat bukannya mengharapkan balasan. Apabila malaikat
memberitahu kepada ALLAH tentang jawapan yang telah diberikan maka ALLAH menyatakan
bahawa DIA telah mengampuni segala dosa-dosa lelaki itu.
Rabi’ah ‘Adawiyah salah seorang daripada waliullah telah menyatakan
bahawa ibadat yang ditunaikan bukan kerana takut azab ALLAH dan mengharapkan
syurga ALLAH tetapi dilakukan kerana taat dan patuh pada perintah NYA.
Sayyidina Ali mengatakan sesiapa yang menganggap dia akan mencapai
sesuatu tanpa kesungguhan maka dia sebenarnya berangan-angan tetapi sesiapa
yang bercita-cita untuk mendapat sesuatu bersama dengan usaha yang
bersunguh-sungguh dia akan mencapainya.
Wahai sahabat,
Rasulullah S.A.W beristighfar lebih 70 kali sehari dan sentiasa mengamalkan
salam kepada para sahabat sehingga para sahabat merasa malu kerana setiap kali
berjumpa, maka Rasulullah S.A.W yang merupakan orang pertama yang memberi salam
bukannya mereka. Adakah kita melakukan sebegitu?
Renunglah dirimu wahai kawan-kawan ku, dimana kita dari pandangan ALLAH? Cukupkah amalan kita untuk dibekalkan pada akhirat kelak? Ingatlah, masa yang telah berlalu tidak akan dapat untuk dikembalikan semula walau apa cara sekalipun. Janganlah kita tergolong didalam kalangan orang-orang yang rugi disisi ALLAH. Semoga kita dibawah payung kerahmatan dari ALLAH yang maha ESA. Aminn.
No comments:
Post a Comment