Assalamualaikum w.t.h. Entry kali ini aku ingin kongsikan sedikit berkenaan dengan dendam. Aku pun sebenarnya seorang yang kuat berdendam. Nak ubah jadi pemaaf tu amat-amatlah sukar. Lebih-lebih lagi keadaan sekeliling aku yang kurang sihat. Kebelakangan ini, perangai bendendam aku makin menjadi-jadi. Aku sendiri pun tak tahu kepada ianya makin membara dihati aku. Jiwa aku sentiasa memberontak dan berdendam kepada orang sekeliling sekiranya aku tidak berpuas hati dengan keputusan mereka. Alhamdulillah, ALLAH beri aku jalan untuk cuba berubah. Tempoh hari aku berpeluang untuk menghadiri satu majlis ilmu di surau di kawasan perumahan aku. Kebetulan ia membentangkan berkenaan dengan dendam dan cara mengatasi dendam. Jadi, aku cuba ingatkan kembali apa yang telah dibentangkan dan aku coretkan pada entry aku kali ini untuk bacaaan semua rakan-rakan.
Kenapa kita berdendam? Apa impak dendam kepada orang yang berdendam dan orang yang didendami? Yang paling penting, bagaimana nak menangani perasaan dendam. Sumber dari wikipedia menyatakan, dendam (ataupun Vengeance dalam bahasa Inggeris) merupakan suatu perasaan yang lahir daripada perasaan benci atau marah, seringkali dipendam secara rahsia oleh seseorang individu. Dendam juga boleh lahir daripada hasad dengki atau ketidakpuasan hati. Dalam agama Islam, dendam itu adalah berdosa.
Ada orang berdendam sebab luka di lubuk hatinya terlampau parah. Tapi mengikut kajian psikologi, orang yang marah itu, perasaan marahnya itu cuma 4 ½ minit.
Jadi jika perasaan marah itu masih wujud dalam hati diri kita atau
lebih panjang dari 4 ½ minit, 1 jam, 2 hari, 2 bulan, 2 tahun itu sudah
masuk sebagai dendam. Ertinya, marah, sakit hati yang lama lebih dari 4 ½ minit ialah dendam. Ini merupakan definisi psikologi.
Diantara punca-punca dendam ialah luka dalam hati yang mendalam ataupun kita teraniaya.
Sebagai contoh, kita bekerja bersungguh-sungguh tetapi orang lain yang dapat nama dan pujian dari bos kita. Hasilnya hati kita akan terluka dan secara tidak langsung kita akan berdendam. Kadang-kala dendam
ini disebab keengganan kita untuk memaafkan. Ia berpunca dari hati masih kotor, jiwa
masih gelap. Dendam juga mencerminkan
jiwa yang masih tidak tenteram. Banyak kekurangan yang tidak dapat di
atasi dengan pelbagai cara kecuali dendam dengan apa yang orang
lakukan kepada kita. Sebenarnya kalau kita berdendam, banyak isu yang akan terbengkalai. Masalah juga tidak dapat diselesaikan, jalan jadi buntu, keberkatan terhakis. Hati yang kotor disebab dendam akan membuatkan hidup kita tak diberkati, hidayah pun lari dan macam-macam masalah timbul satu per satu.
Sekarang aku akan kongsikan bagaimana cara untuk menangani dendam ini dari terus menguasai diri kita dan seterusnya menjadi sebati dalam badan kita yang akan menjadikan tauladan yang tidak baik kepada anak cucu kita kemudian hari.
- Pertama ialah murnikan hati, sucikan jiwa, sucikan hati dengan perbanyakkan solat taubat, meminta maaf dan juga meredhai dengan ketentuan. Sedarlah kita pun selalu menyakiti hati orang disekeliling kita jadi redha lah jika ianya berlaku pada diri kita.
- Keduanya ialah, kita perlu mencari emas dan mencari hikmah dalam setiap kejadian. Apabila kita teraniaya, terdapat hikmah disebalik kejadian itu, kerana apabila ALLAH ingin memberi sesuatu yang baik kepada hambanya, ALLAH akan mulakan dengan musibah supaya hamba NYA meminta pertolongan kepada NYA. Jadi janganlah mudah kita berkecil hati kerana ALLAH masih ingatkan kita. Berfikirlah secara positif dengan musibah yang menimpa diri kita. Jika masalah itu terlalu berat, mohonlah bantuan dari yang pakar. Jangan malu untuk berjumpa para ulama’, juru kaunselor dan sebagainya. Kawan juga memainkan peranan yang penting. Senantiasalah berkawan dengan orang-orang positif, dan cuba elakkan berkawan dengan kawan yang selalu memberi dorongan yang negatif. Nanti lagi bertambah negatiflah diri dan mendorong melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Yang paling penting ialah, berbincang dengan cara yang baik dengan orang yang kita berdendam. Mungkin dari itu, semua dendam akan terhapus. In sya ALLAH.
Oleh itu, janganlah kita menyimpan dendam didalam diri. Terlalu banyak keburukannya dan tidak langsung mendatangkan faedah kepada kita. Tak pasal-pasal dapat dosa percuma. Aku ingin menasihatkan diri aku dan rakan-rakan semua agar kita hilangkan rasa dendam didalam sanubari kita. In sya ALLAH banyak manfaat yang akan diterima kelak. Jika rasa ragu-ragu dengan entry aku kali ini, rujuklah dengan ustaz kat surau rumah masing-masing ye. Semua yang baik datang dari ALLAH dan yang hina dari diri aku sendiri. Apa-apapun rakan-rakan ku..
"Kurangkan kontroversi, Tingkatkan prestasi.!"