Bersyukur kita kepada ALLAH kerana kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara di bumi ALLAH yang bertuah ini dan masih diberi rezeki daripada NYA. Jika terputusnya rezeki kita, bermakna tiada lagi kita di dunia ini. Maka bermulakah kehidupan yang sebenar untuk kita, kehidupan yang tiada penghujungnya dan kekal untuk selama-lamanya.
Apa itu berjaya? Berdasarkan apa yang kita tahu, berjaya ialah keputusan baik yang diperolehi setelah kita berusaha dan bekerja keras. Namun, ada pula istilah "berjaya
di dunia dan di akhirat". Macam mana nak berjaya di dunia dan di
akhirat dalam masa yang sama? Tidak ada manusia yang celik cara berfikirnya
yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang bersifat
sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah hasrat setiap
insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan adalah sesuatu
yang manis dalam kehidupan manusia. Namun
kejayaan yang ingin dikecapinya melalui apa saja proses itu perlulah mengikut
prosedur dan pantang larang terutama dalam agama Islam bagi meniti sesuatu
kejayaan.
Siapa sahaja
mengimpikan untuk menjadi hebat dalam segala bidang dan kerjaya yang
diceburi. Kita juga mengimpikan sejak sekian lama untuk menjawat jawatan
yang hebat demi keselesaan hidup pada masa hadapan. Namun, jangan kita lupa
bahawa semua itu adalah sementara. Kita pasti menempuh suatu alam yang tiada
penghujungnya. Sebagaimana kita perlu hebat dan cemerlang di dunia ini, kita
juga perlu hebat dan berjaya di akhirat.
Dewasa ini, ramai
dikalangan kita bersungguh-sungguh mencari dan mengejar kekayaan dunia sehingga
terlupa membuat persiapan untuk bekalan di akhirat kelak. Kita sibuk berusaha
untuk mempunyai kewangan yang kukuh, kenderaan yang hebat, rumah yang besar dan
lain-lain. Bagi aku ianya tidak menjadi masalah, malah kita dituntut untuk
menikmati rezeki yang dilempahkan oleh Yang Maha Esa. Namun janganlah ia
melalaikan kita sehingga terlupa dan alpa dengan apa yang dimiliki dunia ini
hanyalah bersifat sementara dan akhirat itu kekal abadi.
Untuk menjadi orang yang berjaya dalam
hidup bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini kerana kita mempunyai peluang untuk
mengecapi kejayaan dalam hidup. Ianya bergantung kepada diri kita sendiri yang
menentukan bagaimana cara hidup kita sama ada untuk menjadi orang yang berjaya
atau pun tidak. Setiap individu yang berjaya, mempunyai ciri-ciri yang sentiasa
diamalkan dalam hidup mereka. Ianya boleh dijadikan sebagai panduan dan ikutan
untuk berjaya.
Berilmu dan cintakan ilmu pengetahuan
- Orang yang berilmu akan sentiasa dipandang mulia oleh orang lain kerana ketinggian ilmu yang dimilikinya. Dengan ilmu, seseorang itu akan berjaya di dunia dan juga akhirat. Ciri-ciri individu yang berjaya, mereka sangat cintakan ilmu pengetahuan kerana mereka tahu dengan memiliki ilmu, hidup mereka akan lebih berjaya. Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu adalah, dengan memperbanyakan bacaan.
Yakin
dengan diri sendiri
- Setiap orang mempunyai kelebihan dalam diri masing-masing. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa yakin bahawa kita juga hebat seperti orang lain. Jika orang lain boleh berjaya mengapa tidak kita? Semuanya berkenaan keyakinan yang ada dalam diri kita sendiri. Jika kita sudah tidak yakin dengan diri sendiri, kita mungkin tidak akan dapat mengecapi kejayaan seperti apa yang diimpikan.
Sentiasa
berusaha dan tidak berputus asa
- Kejayaan seseorang itu bergantung kepada sejauh mana usaha yang dilakukan. Jika kita telah pun berusaha tapi kejayaan yang kita inginkan tidak seperti yang diharapkan, maka janganlah lekas berputus asa. Orang yang mudah berputus asa tidak akan kemana-mana.
Tawakal
kepada ALLAH
- Setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian yang diimpikan, maka selepas itu bolehlah bertawakal kepada ALLAH. Ini kerana kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi ALLAH yang menentukan segalanya. Kita telah pun berusaha setakat mana kemampuan kita. Dengan bertawakal, bermakna kita yakin hanya ALLAH yang akan memberikan kejayaan kepada hamba yang diinginkan Nya.
Syukur atas segala nikmat
- Setelah kejayaan yang inginkan telah menjadi kenyataan, maka sebagai seorang hamba, hendaklah bersyukur kepada Nya. Ini kerana, ianya sebagai tanda berterima kasih atas segala nikmat yang diberikan oleh Nya. Dengan membantu orang lain juga menunjukkan tanda syukur atas kejayaan yang telah dimiliki.
Beriman dan bertakwa
- Orang yang berjaya akan selalu berada dekat dengan penciptanya. Ini kerana dia tahu hanya ALLAH yang akan memberikan kejayaan bagi setiap hamba semasa hidup di dunia dan juga akhirat. Keimanan dan ketakwaan, adalah dengan menjaga segala amal ibadah seperti solat, kerana solat adalah hubungan seorang hamba dengan penciptanya. kita juga perlulah sentiasa berdoa supaya diberikan kejayaan dan kesejahteraan dalam hidup ini.
Kesimpulannya, semua orang inginkan
kejayaan dalam apa jua perkara yang dilakukan kerana ianya menjadi impian
setiap orang. Tiada siapa yang ingin berada dalam kehidupan yang susah, kecewa,
derita dan sebagainya. Sudah tentu kita selalu ingin hidup bahagia dan berjaya
seperti orang lain juga. Tapi ingatlah, dalam kita mengejar kejayaan hidup di
dunia ini, kita janganlah sampai melupakan kejayaan kita untuk hari akhirat
juga. Sama-samalah kita berusaha untuk mengecapi apa saja kejayaan yang kita
inginkan.
"Jom jadi insan hebat di dunia & di Akhirat"

No comments:
Post a Comment