16 June 2014

Sentiasa Ada Dalam Doa Ku



 
Ya Ilahi Robbi,
Kuatkan aku untuk mencari diri sepenuh hati,
Teguhkanlah aku dilangkah ini,
Menanti dia sang bidadari hati ini,
Untuk bersama menuju Mu sepenuh hati.

Ya Ilahi Robbi,
Teguhkanlah aku dilangkah ini,
Dipenantian hakikat diri,
Sehingga tiba waktu yang dinanti,
Izinkanku menjemput bidadari.






Ya ALLAH.
Seandainya telah engkau catatkan kami untuk disatukan, maka satukanlah hati kami. Titipkanlah kebahagian antara kami agar kemesraan itu abadi. Satukanlah hati kami seperti mana Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusof dan Zulaikha, dan seperti Engkau satukan hati Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah. Aku memohon doa restu-Mu, berkatilah hubungan kami ini dan temukan hati kami dengan sempurna sepertimana yang Kau kehendaki.

Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih.
Sampai waktunya nanti, jadikanlah kami suami isteri yang saling mencintai di kala dekat dan jauh, saling menjaga kehormatan di kala jauh, saling menghibur di kala duka, saling mengingat di kala bahagia, saling mendoakan dalam kebaikan dan ketakwaan, saling menyempurnakan dalam peribadatan.

Ya Tuhanku Yang Maha Penyayang.
Sempurnakanlah kebahagiaan kami dengan menjadikan hubungan kami ini sah dengan ijab dan qabul sebagai tanda ibadah kepada-Mu, dan bukti pengikutan dan cinta kami kepada sunnah Rasul-Mu. Sesungguhnya Kaulah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
 
 Amin Ya Rabbal Alamin.

14 April 2014

Berubah itu mudah, ISTIQOMAH itu payah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan yang terpuji, Rasulullah S.A.W. dan kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

Hari ini aku nak kongsikan sedikit tips macam mana nak istiqamah dalam beribadah pada ALLAH Azzawajallah. Setiap manusia tak kiralah dia baik atau jahat, dia alim atau jahil, pastinya ada dalam sudut hatinya berniat atau terniat nak berhijrah dan berubah menjadi lebih baik terutamanya berubah untuk meningkatkan lagi ketaatan dan ibadah pada ALLAH Yang Maha Isa.

Perubahan atau penghijrahan seseorang mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi mata-mata sekeliling yang melihat. Itu sudah dianggap perkara biasa. Tetapi penghijrahan itu mungkin akan menjadi perkara luar biasa bila seseorang itu kuat menahan nafsu dan tetap istiqamah dengan taubat dan penghijrahannya. Nak berubah memang senang, tapi bila nak istiqamah tulah yang payah bebenoh. Sebab itu kita mudah jatuh pada lubang yang sama. ALLAH ALLAH ALLAH... Kenapa susah sangat nak istiqamah ni ?! *Hati ini membentak.
Ulama menegaskan makna istiqamah dengan kata-katanya sendiri. Iaitu berdiri di hadapan ALLAH dengan sebenar-benar kejujuran dan pelaksanaan. Istiqamah itu berkaitan dengan perkataan, perbuatan, keadaan dan niat.

Walaupun banyak perbezaan pendapat daripada para ulama tentang maksud istiqamah, namun semuanya masih tetap sama meluahkan istiqamah itu, menyuruh kita melakukan perintah ALLAH secara konsisten dan berterusan. Ramai yang tertipu apabila mereka berpendapat kuantiti ibadah itu lebih diutamakan ALLAH berbanding kualiiti ibadah itu sendiri. Bila mana pada awalnya kita sangat bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadah, contohnya dalam sehari nak mengaji 3jam. Sehari dua hari tiga hari, okeylah boleh buat. Tapi bila nak masuk 4 hari terus kita dah rasa bosan dan malas nak buat. Akhirnya terus tinggalkan. Kita tak nak jadi macam tu.

Kita susah nak istiqamah kerana kita susah nak lawan nafsu kita sendiri. Tanpa kita sedari kita sebenarnya takut dengan nafsu sendiri. Benda lagho yang kita selalu buat itu sebenarnya akhlak kita sebab perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi diri kita. Contohnya bila selalunya kita solat lambat. Nak berubah menjadi solat pada awal waktu pada mulanya memang sulit tapi kita cuba juga untuk melawan rasa sulit tu dan terus ke bilik air untuk mengambil wuduk bila azan dah berkumandang. Lepas 3 hari kita dah malas nak solat awal waktu sebab kita fikir solat pada tengah-tengah waktu pon tak apa. Sampailah hari seterusnya kita selalu lewat-lewatkan solat sampai kadang-kadang tertinggal waktu. Dah nak habis waktu solat baru nak terhegeh-hegeh ambil wuduk dan solat. Haih... nilah padah lambat-lambatkan solat. Teringat aku pada nasihat ibu, bila suka lambatkan waktu solat, lama-lama kita jadi malas terus tak nak bersolat.

Susah nak istiqamah juga disebabkan faktor persekitaran. Bila kita kat surau, apa yang kita fikirkan dalam otak ni adalah nak mengaji, nak solat sunat, nak pegang tasbih berzikir banyak-banyak. Tapi bila kita sampai rumah. Masuk bilik sorang-sorang, baring-baring, dengar azan kita terus rasa malas. Sebab apa? Sebabnya bila dekat surau kita dikelilingi orang-orang yang sentiasa beribadah pada ALLAH. Dalam surau pula memang mempunyai aura unttuk buat kebaikan. Dalam bilik, dahla sorang-sorang. Mestilah sah-sah syaitan yang sekeliling kita. Bisik perkara yang tak baik. Ditambahkan lagi dalam bilik tu ada aircond, katil, batal, memang susah lah nak bangun pergi ambil wuduk nak solat. Betul kan?

Sabar itu separuh dari Iman. Kita tak sabar maka kita susah nak istiqamah. Kita tak sabar untuk sentiasa berterusan melakukan solat pada awal waktu. Kita tak sabar menjaga nafsu kita lantas jatuh dalam lubang dosa yang sama. Kita tak sabar untuk melawan rasa malas pada malam-malam buta semata-mata nak berqiamulail. Kita tak sabar untuk tiap-tiap malam mengaji dan membaca tafsir ayat al-Quran. Kita tak sabar untuk melawan ego demi memperbaiki hubungan sesama manusia. Kita tak sabar kerana tak sanggup nak buang perasaan dengki pada orang lain. Kita tak sabar dalam menghadapi dugaan yang ALLAH bagi kerana kita lupa semakin kita dekat pada ALLAH semakin besar ujian yang menimpa kita. Kita juga lupa ALLAH berfirman siapa yang sabar maka dia diangkat darjatnya dan sentiasa dalam reda ALLAH.

Kita susah nak istiqamah sebab kita selalu riak dengan perubahan diri sendiri. Kita ujub bila kita rasa kitalah paling baik dalam dunia. Kita rasa kita bagus bila kita mempersoalkan bila orang lain nak berubah macam kita. Sedangkan kita sendiri belum tahu sampai tahap mana sabar kita, perubahan kita. istiqamah kita akan bertahan. Para ilmuan kata, bila kita pandang orang yang buat maksiat, kata dalam hati mungkin dia ada kesempatan nak bertaubat. Sedangkan kita? Bila kita pandang budak kecil, kata dalam hati diorang tu masih suci sebab tak pernah lagi buat dosa. Sedangkan kita? Bila kita pandang orang jahat, fikirlah mungkin satu hari nanti dia akan berubah dan menjadi lebih baik lagi daripada kita. Bila kita pandang orang kafir, fikirlah mungkin satu hari nanti mereka akan masuk Islam dengan hidayah Allah.


Jadi, bagaimana nak istiqamah ?

Setiap kesulitan pasti ada kemudahannya. Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya kerana ALLAH itu tidak akan memberi ujian melainkan ada penawarnya, ada ubatnya, ada penyelesaiannya. Nak istiqamah, serius memang susah kecuali kalau ada niat sungguh-sungguh dalam hati.

  • Berdoa pada ALLAH. 
Kekuatan itu datang daripada ALLAH. Kita tahu kita ni terlalu lemah dan kita sangat memerlukan kekuatan dan bantuan daripada DIA dalam istiqamah mengerjakan ibadah pada-NYA. ALLAH Al-Jabbar. ALLAH itu Maha Kuat. Maka kekuatan yang sering kita perlukan adalah daripada ALLAH. Jadi berdoalah dan seringlah kita memohon kekuatan daripada-NYA agar segala urusan kita di dunia dan di akhirat sentiasa berjalan lancar dan dipermudahkan.

Tiada daya upaya melainkan dengan bantuan Allah yang Maha Agung.

Doa tersebut adalah mustajab untuk memohon pada ALLAH agar sentiasa memimpin diri kita yang lemah ini dalam melakukan ketaatan pada DIA Yang Satu. Tubuh Baginda sering bengkak-bengkak disebab sentiasa beribadah pada ALLAH dan bersujud lama pada ALLAH di setiap akhir solat baginda kerana berdoa sebaik mungkin agar ALLAH mengampunkan dosa-dosa baginda sedangkan Rasulullah telah dijanjikan ALLAH syurga. Baginda juga seorang yang maksum. Tiada satu pun dosa baginda pada ALLAH. Namun baginda tetap berdoa agar ALLAH ampunkannya dan baginda sering solat malam untuk menambahkan ibadah. Baginda paling banyak beristigfar memohon ampun pada ALLAH sedangkan kita manusia yang lemah tidak tahu dimana tempat kita di akhirat nanti, pun malas nak berdoa, berzikir memohon ampun pada ALLAH. Astagfirullah :( 


  • Hati sentiasa hadir bersama ALLAH dalam beribadah.
Kebanyakan di kalangan kita, menjadikan ibadah itu sebagai adat dan kebiasaan, melakukannya kerana sudah dirutinkan dan diprogram di dalam aktiviti harian kita. Ini menyebabkan kita beribadah sekadar untuk melepaskan diri daripada kewajipan, seterusnya ibadah itu berlalu tanpa memberikan kesan ke dalam hati kita. Ibadah demi ibadah dilakukan, tetapi hati tetap jauh dari ALLAH SWT.

Kita selalunya menunaikan solat sekadar mana yang boleh melepaskan diri kita dari kefardhuannya. Maka, solat yang dilakukan tidak sempurna, fikiran jauh melayang entah ke mana, semua masalah datang di dalam fikiran di dalam solat, difikirkan masalah tersebut hingga tamat solat dalam keadaan kita tidak sedar langsung apakah perbuatan yang kita lakukan sepanjang solat sebentar tadi. Adakah sempurna rukun dan syaratnya? Apatah lagi perkara sunat di dalam solat, langsung tidak dilakukan, berpada dengan perkara wajib sahaja.

Hendaklah kita melakukan solat itu seperti para sahabat dan tabiin, bukan sekadar melaksanakan rakaat demi rakaat. Malah, setiap rakaat itu memberikan bekas ke dalam hati kita dan meningkatkan iman kita. Kita perlu menghadirkan ke dalam hati kita bahawa kita sedang menyembah ALLAH, Tuhan sekelian alam, Raja segala raja. Berdirinya kita sebagai hamba yang pandangan sentiasa tunduk ke bawah, tanda akur dengan kebesaran dan kekuasaan ALLAH. Rukuk kita dengan perasaan takzim kepada ALLAH, Tuhan yang Maha Agung. Sujud kita dengan perasaan penuh kehambaan dan kehinaan di hadapan ALLAH Yang Maha Tinggi.

Membaca Al Quran itu bukan sekadar membaca huruf demi huruf dan ayat demi ayat. Malah menghayati setiap bacaan itu dengan penuh teliti. Jika seseorang itu memahami Bahasa Arab, maka hendaklah membaca Al Quran itu dengan penghayatan kepada maknanya dan apa yang diceritakan di dalamnya. Jika tidak memahami Bahasa Arab, lafazkan bacaan Quran itu dengan tartil, sempurna tajwid dan makhrajnya. Jika boleh membuat bacaan berlagu, maka lagukan bacaan Al Quran dengan baik. Setiap bacaan kita itu kita sedari bahawa kita sedang membaca kalam-kalam ALLAH, iaitu kalam yang teragung di seluruh alam semesta.

Diceritakan bahawa Saidina Ikrimah RA ketika ingin membaca Al Quran, selepas membukanya, terus masuk kebesaran dan keagungan ALLAH ke dalam hatinya. Lantas berkata "Ini kalam TuhanKu. Ini kalam TuhanKu. Ini kalam TuhanKu." Lantas beliau menangis lantaran rasa ketakutan dan bergetar hatinya terhadap kebesaran ALLAH walaupun belum membacanya lagi, kerana beliau dapat merasakan bahawa kalam ALLAH berada di hadapanya dan ianya teramat agung.

Begitulah dengan ibadah lain, hendaklah dilakukan dengan menghadirkan hati kita bersama ALLAH. Benar, ianya bukan syarat sah ibadah, namun di situlah kesempurnaan ibadah. Ibadah yang sempurna sahaja yang dapat membina ikatan kukuh antara hamba dan PenciptaNya. Manakala ibadah yang tiada penghayatan, umpama baju buruk yang bertampal sana sini. Cukup sekadar menutup aurat, namun kelihatan hodoh sekali

Menghadirkan hati bersama ALLAH di dalam ibadah sememangnya sukar dilakukan. Ia memerlukan mujahadah dan kesungguhan kita sebagai hamba ALLAH. Kemungkinan besar ianya tidak akan hadir semasa kita ingin membacanya pada hari ini, esok, lusa dan minggu hadapan. Namun, berkat usaha kita yang berterusan, ALLAH yang Maha Pemurah pasti akan memberikan nikmat ini kepada kita selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ianya berbeza kepada mereka yang malu kepada ALLAH tidak bertempat dan putus asa dengan rahmatNya, dengan tidak berusaha untuk mendapatkan nikmat ini, pastinya nikmat ini tidak akan hadir selamanya. 
  • Meletakkan had minima dalam ibadah harian.
Meletakkan kadar minimum untuk setiap ibadah harian kita supaya ianya tidak berkurang dari had tersebut dan mengelakkan diri kita dari meninggalkannya terus. Ini merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mendapatkan istiqamah. Ini adalah kerana di dalam konsep istiqamah, bukan kuantiti ibadah menjadi keutamaan, tetapi penerusan di dalam pengamalan walaupun sedikit.

Hendaklah kita meletakkan had pada ibadah kita seperti tidak akan meninggalkan sama sekali solat fardhu secara berjemaah. Lewat mana sekali pun kita solat, mungkin disebabkan urusan yang tidak dapat dilewatkan, maka hendaklah kita mengusahakan agar solat itu dilakukan secara berjemaah.

Kita boleh meletakkan had bahawa wajib untuk kita membaca Al Quran paling sedikit satu muka surat dalam sehari. Maka, apa jua perkara yang berlaku, pastinya kita membaca Al Quran setiap hari dan tidak melanggar had minima ini, dalam keadaan kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran dan tidak berpada dengan satu muka surat setiap hari.
  • Berusaha untuk khusyuk dalam solat
Memang payah benoh nak khusyuk dalam solat ni. Cuma orang-orang yang kuat iman macam Rasulullah dan para sahabat sahaja yang boleh mencapai tahap khusyuk dalam solat. Kadang-kadang hati akan menjadi bosan bila kita masih tidak dapat mencapai khusyuk dalam solat. Bila hati dah bosan, kita akan putus asa untuk cuba lagi khusyuk dalam solat. Bila dah putus asa, lama kelamaan kita malas nak solat sebab kita tau kita tak akan khusyuk bila solat. Tapi sampai bila? Kita kena solat juga biarpun tak khusyuk asalkan kita cuba nak mengingati ALLAH dalam solat. Kalau nak tunggu kita khusyuk memang sampai mati lah kita tak solat! Memang taklah kan macam tu.

Mula-mula nak solat, kita kena ambil wuduk dengan sempurna. Kita hayati wuduk yang kita ambil. Aku pon kadang-kadang tak hayati jugak wuduk yang aku ambil tu. Tapi kita try hayati. Bayangkan setiap air wuduk yang kita ambil tu kan membersihkan diri kita yang kotor dengan dosa ni. Kita berharap dalam hati agar ALLAH mengeluarkan dosa-dosa dari badan kita dengan air wuduk yang kita ambil tu.
Lepas itu, sebelum nak solat kita iqamat dulu walaupon kita solat sorang-sorang. Doa dalam hati mintak pada ALLAH tolonglah bantu kita khusyuk dalam solat. Dan tolong kita jauh daripada was-was agar kita mudah nak khusyuk bila solat nanti. Insya-Allah. :)
Sebenarnya banyak lagi cara nak istiqamah. Tapi apapun caranya, sama-samalah kita kuatkan semangat dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri menjadi hamba ALLAH yang terbaik. Walaupun banyak sangat ujian yang ALLAH turunkan pada kita. Janganlah sesekali kita putus asa dan lemah. Okay!! Sentiasa ingat ujian itu tanda kasih ALLAH pada kita. ALLAH tegur kita melalui ujian. DIA nak suruh kita ingat DIA. DIA nak suruh kita balik semula pada jalan yang benar lagi lurus. Bila hati rasa bersalah dengan dosa dan maksiat, itu tanda hati kita tak mati lagi. Kita masih punya iman tapi iman kita kecil berbanding nafsu yang sedang bermaharajalela.

Semua yang tertulis dalam post ni adalah untuk peringatan buat kita bersama terutamanya untuk diri aku yang selalu lemah dan putus asa. Niat dalam hati tetap sama, cuma hendak berkongsi dan meluahkan rasa dalam hati. Bukannya nak riak nak ujub dan nak tunjuk alim. Aku tak pernah anggap diri ni bagus walaupun banyak kali syaitan bisik dalam hati biar kasik aku ni ujub dengan diri sendiri. Seriusly, aku masih banyak kekurangan. Terlalu terlalu terlalu banyak kekurangan dan kejahilan. Bila aku taip blog, nilah cara aku nak sedarkan diri aku yang aku ni selalu berdosa pada ALLAH. Aku taknak orang ingat aku alim atau pandai agama. Pandai subjek agama tu senang. Baca buku terus dapat jawab. Insya-ALLAH. Tapi kalau pandai bab agama, bukanlah aku orangnya. Tak semua yang aku beritahu korang aku sendiri akan amalkan. Tapi aku cuba untuk buat walaupon tak banyak. Sesuai dengan hadis nabi, sampaikanlah walaupon sepotong ayat. Jadi aku mengarang blog demi mencari pahala yang berterusan. Ya ALLAH... ampunkan aku sebab aku banyak bercakap berbanding mengamalkan. Tiada niat nak mengajar tapi nak berkongsi sahaja. Semoga kita sentiasa berada dalam redho-Nya. Insya-ALLAH. Aamiin.


10 March 2014

Media Sosial

 Aku pasti, ramai diantara kita mempunyai laman sosial seperti facebook, twitter, tagged dan lain-lain lagi. Mungkin ada antara kita yang tidak tahu atau naif dengan dunia IT ini sehingga dengan mudahnya mendedahkan perkara yang tak sepatunya di laman sosial. Perbuatan itu sebenarnya mengundang bahaya kepada diri sendiri tanpa disedari. Oleh itu, aku nak kongsi sedikit tips yang boleh diambil supaya diri kita tidak terdedah kepada mangsa jenayah siber.
  • Check-in Di Media Sosial
Teknik ini memang menjadi trend di kalangan kita. Ia boleh di katakan satu kemestiaan untuk menunjukan di mana lokasi sebenar kita sekarang. Namun, jarang sekali orang melihat ia sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya namun realitinya memang benar! Cuba bayangkan kalau ada individu yang tidak di kenali dekati korang dengan hanya kerana melihat status check in terbaru korang di media sosial. Tak menakutkan ke? 
  • Berkenalan Didunia Maya
Pekara ini bukanlah sesuatu yang baru dan pelik. Ia memang satu pekara yang sering terjadi di persekitaran kita. Memang berkenalan di laman sosial menyeronokkan tetapi lupakah korang ia sebenarnya boleh membahayakan keselamatan diri sendiri. Entah siapa-siapa yang kita kenal, silap-silap haribulan penjenayah yang di kehendaki?
  • Pakaian Yang Menjolok Mata
Jangan salahkan orang lain jika ada yang cuba mengambil kesempatan pada korang. Cuba lihat dimana silapnya diri sendiri. Mungkinkah kerana korang terlalu leka hinggakan ada yang berani mencuri peluang atau adakah kerana korang sendiri yang menjadi punca utama. Berpakaian terlalu seksi atau ketat juga boleh menyebabkan korang berada di dalam zon bahaya. Jadi seeloknya, jika korang keluar pakailah pakaian yang besederhana. Aku tahu ini salah satu isu yang agak sensitif bagi sesetangah pihak, pokok pangkalnya pada diri yang menerima.
  • Menangkap Gambar Dikhayalak Ramai 
Tidak kiralah sama ada korang menggunakan kamera mahupun telefon pintar. Pekara ini boleh mendedahkan korang pada bahaya. Jangan sangka tiada yang memerhati setiap tingkah laku korang tu!! Besar kemungkinan ada yang mengekori dari belakang dan berniat untuk meragut atau mencuri harta benda korang. Sebaiknya elakkan diri dari mendedahkan harta benda terutamanya khayalak ramai.
  • Blind Date Seorang Diri
Jika korang berniat untuk bertemu janji dengan individu yang tidak pernah dikenali, pastikan korang bawa sekali kawan-kawan atau saudara terdekat untuk menemani korang. Jangan dedahkan diri korang pada bahaya.
  • Keluar Dari Bank
Pernahkah korang keluar dari bank dalam keadaan sedang masukan kad bank atau duit di dalam beg duit? Hati-hati, masa itulah peragut cuba mengatur langkah. Melihat gerak gaya korang yang sedang kalam kabut itu rancangan mereka pasti berjaya. Oleh itu, sebelum korang melangkah keluar pastikan korang dalam keadaan bersedia menghadapi bahaya yang akan muncul secara tidak di jangka.

Mungkin ini sedikit sebanyak yang dapat aku kongsikan dalam entry aku kali ini. Idea aku pun dah makin nipis dengan hujahan tambahan pula masa semakin mencemburui aku untuk mengarang. Jadi kesimpulannya, janganlah kita menjadi mangsa jenayah siber yang berpunca daripada salah kita sendiri. Jadikanlah media sosial ini sebagai tempat kita untuk berkongsi ilmu dan tempat mengeratkan ukhwah sesama kita.



13 February 2014

Valentine's Day

Valentine's Day atau Hari Kekasih tidak akan lepas daripada mendapat perhatian apabila tibanya 14 Februari setiap tahun. Walaupun begitu kini umat Islam telah mula menyedari bahawa hari kekasih ini haram untuk diraikan berdasarkan beberapa fakta berkenaan asal usul hari tersebut.

Mungkin ramai sudah jemu membaca berkenaan hal ini. Namun begitu, kita harus sentiasa diingatkan kerana syaitan sentiasa ganggu kita. Oleh itu, luangkanlah sedikit masa untuk membaca entry ini. Semoga diri kita dipelihara oleh ALLAH.
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. “Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud).
  • Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.
  • Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah di sisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.
  •  Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.
  • “Hari Kekasih”  yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.
  • Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka. 
Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut :
  • Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
  • Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat   menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang. 
  • Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.
  • Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.
  • Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.  
  • Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan Kristian terhadap Islam. Maka barang siapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.
  • Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. 
  • Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari sebagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah S.W.T. dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklamasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman. 
Semoga dengan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak, kesedaran berkenaan Hari Valentine atau Hari Kekasih ini akan dapat ditingkatkan. Marilah kita bersama-sama berganding bahu menyelamatkan aqidah kita serta seluruh umat Islam terutama ahli keluarga kita demi agama yang tercinta.

Wallahu A’lam Bish Shawab 

18 January 2014

Antara Adat Dan Agama

Hantaran kahwin semakin tinggi takkala ini. Itulah antara isu yang sering menjadi topik hangat dikalangan pemuda sekarang ini yang teringin melangsungkan perkahwinan. Pilihan dah ada, bercinta pun dah lama tapi masuk bab hantaran, terus menggelengkan kepala. Kerjanya hanya sebagai kerani pejabat atau pembantu kedai, bila hujung bulan, congak gaji tolak duit sewa rumah, tolak bayar ansuran moto, tolak duit petrol, tolak hutang kawan, tolak duit belanja makan, tolak itu sikit ini sikit, balance gaji bersih tinggallah hanya RM200. Baru nak menyimpan, moto pulak rosak, baju seluar pun dah lusuh lama tak berhganti, awek pulak ajak gi berjalan. Koyak lagilah duit simpanan. Sebab itulah ramai yang masih berbujang walaupun umur lanjut.

Tempoh hari aku terbaca satu entry dari blog seorang kawan aku, mengenai adat dan agama. Ramai diantara kita kian melupakan agama kerana mengikut adat. Jadi aku masukkan cerita tersebut didalam entry aku kali ini untuk kita sama-sama baca dan nilai dimanakah tahap kita.

Di suatu kawasan perumahan di pinggir bandar. Ada sepasang pasangan kekasih ini hendak keluar berdating. Setibanya si pakwe di hadapan rumah makwenya, Maka berlakulah dialog berikut.

Gadis : Masuklah dulu, jumpa dengan ayah saya.

Teruna : Boleh ke?

Gadis : Masuk je lah, saya nak bersiap.

Menyusup masuk si teruna melalui pintu utama. Pintu yang siap terbuka mengalu-alukan kedatangan si Teruna.

Teruna : Assalamualaikum.

Bapa Gadis : Walaikumussalam.

Melihat pada lantangnya suara bapa si gadis, terus si teruna kaku membatu. Lantas si gadis menarik tangan di teruna menyedarkan dari lamunan itu.

Gadis : Mari, duduk kat kerusi ini.

Teruna : Eh.

Setelah tangan dihulur dan salam bertaut, duduklah si teruna di kerusi hampir menghadap bapa di gadis. Hanya surat khabar yang menjadi tabir antara mereka.

Bapa Gadis : Nak jalan kemana hari ini?

Teruna : Bandar je pak cik, dia nak cari barang katanya. Barang apa tak tahulah saya.

Bapa Gadis : Oh..

Teruna : ???

Hampir 5 minit senyap tanpa suara, Dan ibu si gadis keluar dari tabir ruang utama dan ruang belakang membawa air serta biskut kering. Si teruna senyum kelat.

Ibu Gadis : Minumlah ni sikit. Kamu sudah sarapan?

Teruna : Eh... Sudah cik. Terima kasih.

Ibu Gadis : Kamu ni malu-malu pula dengan kami

Bapa Gadis : Bila kami nak hantar rombongan?

Ibu Gadis : Eh... Apa ayahnya ni?

Teruna : Eh... Duit takde lagi. Hehe..

Bapa Gadis : Kamu bawak anak kami kehulu kehilir. Apa orang kata nanti?

Teruna : (Eh.. Malu dengan orang ke malu dengan ALLAH, lagi takut orang kata dari ALLAH yang menghukum) Kami naik kereta jer cik, tak de la nampak berkebit sangat. Boleh saya tanya cik sikit?

Bapa Gadis : Boleh takde masalah.

Teruna : Pakcik dengan makcik nak letak wang hantarab berapa ye?

Bapa Gadis : Kalau boleh 20 ribu.

Ibu Gadis : Eh..  Tak kisah la, tapi kalau boleh makcik nak lebih sikit dari orang sebelah ni.

Teruna : Berapa tu mak cik?

Ibu Gadis : Dalam 25 ribu ke atas dan dulang 25 ke atas pihak lelaki.

Teruna : (Amboi. melantak dulang ke ape? Woaaaa... 25 ribu. Mana nak dapat? Aduh..) Tingginya mak cik, tak boleh rendah lagi ke?

Bapa Gadis : Itu nasi kamu la. kamu yang nak kat anak kami. Lagipun dialah satu-satunya anak perempuan kami, kenalah market skit. Nak grand-grand camtu.

Si teruna hampir hilang akal. Si teruna cuba berbincang untuk merendahkan mahar si gadis.

Teruna : Erm.. Kenapa anak pak cik tak pakai tudung?

Bapa Gadis : Itu kenalah tanya maknya.

Teruna : (Eh.. Boleh main pas-pas pulak dah)

Ibu Gadis : Eh.. Awaklah. Apa pulak saya. Awak yang sepatutnya didik anak.

Bapa Gadis : Saya kan kerja. Mana ada masa.

Teruna : (Pulak dah. gaduh nanti) Eh-eh... Makcik pakcik.. Kita lupakan dulu soalan tadi sebab kalau ikut makcik pun tak tutup kepala jugak. Maksudnya lebih kurang jugaklah. Nak tanya lagi. Anak pakcik pandai masak tak?

Bapa gadis : Hurmmm.. haram... Tau-tau bangun tido pukul 12 lebih, bukan bangun pagi dah tu. Bangun tengahari terus makan tengahari.

Ibu Gadis : Apalah ayahnya, orang ni nak buat anak kita bini, dia cerita buruk-buruk pulak.

Bapa Gadis : Maknya pun sama, suka bangun lambat juga.

Ibu Gadis : Abahnya!!!

Teruna : (Kah kah Kah.. camtu pun nak cerita) Oklah, soalan lagi. Boleh tak dia baca Quran?

Ibu Gadis : Boleh sikit-sikit kot.

Teruna : Kali terakhir bila?

Ibu Gadis : Err.. Darjah 1 agaknya.

Teruna : Hurmm..

Ibu Gadis : Kenapa?

Teruna : Takde apa makcik. Soalan cepumas. Dia solat tak?

Bapa Gadis : Apa motif kamu tanya semua ini. Diakan selalu ikut kamu. Kamu tahu la.

Teruna : Kalau kat luar saya ajak dia solat, dia cakap datang bulan. Hari-hari datang bulan. Dia tau solat atau tidak?

Hampir terkedu si bapa dan si ibu dan pada raut wajah mereka berdua terdapat tanda-tanda kemerah-merahan menahan amarah.

Teruna : Boleh saya sambung lagi. Dia tak reti masak, tak reti solat, tak reti mengaji, tak reti nak tutup aurat sebelum jadi isteri saya lagi. Dosa-dosa dia terang-terang pegi kat pakcik makcik. Lagipun tak berbalaoi 25 ribu  untuk dia. Lainlah dia ni "Hafizah", 30 juzuk dalam kepala, bertutup litup habis dari bawah sampai ke atas dan tau jaga batas, haaaa... itu barulah berbaloi 100 ribu pun saya sanggup bayar. Tapi orang macam itu kalau kahwin mereka memilih serendah-rendah mahar. Sebab sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar.

Mata bapa si gadis direnung tajam oleh mata ibu si gadis.

Teruna : Lumrah adat untuk menjadikan anak perempuan untuk menjadikan objek pemuas nafsu hati menunjukkan kekayaan serta bermegah-megah dengan apa yang ada. Terutamanya pada majlis perkahwinan. Adat mengatasi agama, membiarkan anak perempuan dihias dan dibuat pertunjukkan di khalayak ramai. Sedangkan pada waktu itu akad telah dilafazkan oleh si suami, dan segala dosa anak perempuan sudah mula ditanggung oleh si suami. Amatlah rugi. Mahar berpuluh ribu dibayar pada isteri dan sepatutnya hanya si suami seorang yang berhak melihat, tetapi pada hari pertama perkahwinan iaitu pada persandingan sahaja berpuluh ribu mata yang melihat si isteri. Seolah-olah si suami membayar mahar untuk mereka sekali.

Bapa Gadis : Tapikan, pakcik nak anak pakcik rasa sekali. Benda sepertu tu kan sekali seumur hidup.

Teruna : Pakcik nak anak pakcik rasa ke atau pakcik yang nak rasa grand?

Ibu Gadis : Tentulah kami berdua pun turut gembira.

Teruna : Yeke? Pakcik, makcik, saya bukan apa. Sekarang dosa anak pakcik, pakcik yang tanggung. Esok lusa lepas akad nikah terus dosa dia saya yang tanggung. Pastu pakcik nak buat bersanding pulak. Setiap mata yang memandang saya akan dapat dosa. Lagilah saya berdosa sangat-sangat.

Ibu si gadis segera mengambil langkah mudah dengan menarik diri daripada perbualan itu. Si ibu tahu, si teruna bercakap menggunakan fakta Islam dan tidak mungkin ibu si gadis dapat melawan kata si teruna itu.

Bapa Gadis : Kau memandai pulak nak cakap agama dengan kami.

Teruna : Eh.. Maaflah pakcik. Bukan saya nak cakap pasal agama. Tapi itulah hakikat sebenar. Kita terlalu pandang pada adat sampai lupa agama.

Bapa Gadis : Camnilah. Kamu sediakan 25 ribu dengan 31 dulang. Kalau takde, kamu tak boleh kahwin dengan anak aku!!!

Teruna : Lama lagilah camtu. Dalam umur saya 30 lebih, baru dapat masuk meminang. Kalau camtu pakcik, izinkan saya berzina dengan anak pakcik?

Bapa Gadis : Hoi!!! Kau dah melampau, ko baik-baik sikit cakap tu. Jangan main sedap mulut jer.

Teruna : Dengar dulu penjelasan saya pakcik. Pakcik tau tak apa sebab orang berzina dan banyak anak luar nikah? Sebab benda ni lah pakcik. Selalu ibubapa perempuan yang meletakkan berpuluh ribu ringgit sampaikan pihak lelaki terpaksa menangguh hasrat untuk berkahwin. Tetapi cinta dan nafsu kalau tidak diiringkan dengan betul, syaitan yang jadi pihak ketiga untuk menyesatkan manusia. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas memuaskan nafsu serakah dengan berzina. Mula-mula menang ringan-ringan tapi lama-lama jadi berat-berat.

Bapa Gadis : Hurm.. Kamu ni peliklah. Nasib baik pakcik cool jer. Kalau orang lain dah lama angkat parang. Tapi kalau takde duit, macam mana kamu nak bagi dia makan?

Teruna : Hehe.. Pakcik. Pakcik lupakah dengan apa yang telah ALLAH bagitahu?

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLAH akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana ALLAH Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."

Teruna : Takkanlah kita tak yakin dengan apa yang ALLAH janjikan. Lagipun pakcik, kalau makan minum tu insyaALLAH, berdaya lagi untuk saya beri pada dia. Tempat tinggal tu kita boleh bincang lagi. Kalau benda ni boleh menghalang kami dari melakukan perkara dosa dan sia-sia, baiklah disegerakan. Pakcik pun tak mau perkara-perkara tak elokkan.

Senyap tanpa kata bapa si gadis, merenung kata-kata si teruna. Segera bapa si gadis memikirkan cara untuk mematahkan kata-kata si teruna. Dan bapa si gadis mendapat akal.
Bapa  Gadis : Kamu tau la zaman sekarang ni. Kalau ikut cara kamu tu, mungkin kamu tak suka dengan persandingan, pakcik boleh terima. Tapi kamu kena la ambil kira apa yang orang lain yang kata. Tau-tau orang akan mengata anak aku kena tangkap basah dan kena nikah paksa dengan kamu. Mana nak letak muka.

Teruna : Bagus juga cadangan pakcik tu. Kena tangkap basah 2 ribu jer denda. Kat Malaysia nie takde HUDUD, dan kalau untung boleh nikah masa tu jugak. Bagus-bagus.

Bapa Gadis : Seriuslah sikit.

Teruna : Tapi pakcik, saya tak kata pun takde walimatul urus. Sedang walimatul urus tu perlu untuk hebahkan yang anak-anak dah kahwin. Itu cara Islam. Ok. Tapi yang tak oknya, bersanding tu. Kesian saya pakcik, saya seorang bayar mahar untuk anak pakcik, orang lain pun dapat tengok. Siap kalau berhias secara berlebihan dan orang lain yang lihat menaikkan nafsu syahwat mereka, Saya berdosa pakcik. Saya yang tanggung dosa dia. InsyaAllah pakcik kita bukan nak buat apa pakcik, syariat memang macam tu. Maha baiknya ALLAH sebab jaga kita selama ini, tetapu benda remeh-temeh camni pun kita masih pandang ringan dan kita tak menjaga apa yang telah ALLAH janjikan. Susahlah camtu pakcik. Maaflah kalau ada kata saya yang membuat pakcik kurang senang dengan saya. Segala-galanya kita serah pada ALLAH, kita merancang jer.

Azan zohor berkumandang, jaraknya tidak sampai dari 10 meter dari surau berdekatan rumah si gadis. Si teruna memohon untuk ke surau dan mengajak bapa si gadis untuk pergi bersama. Namun ajakan ditolaj dengan lembut.

Lantas si teruna memberi salam dan memohon untuk keluar. Di birai tingkap bapa si gadis melihat si teruna mengeluarkan kopiah dari poketnya dan segera di pakainya. Masuk ke dalam kereta dan hilang dari penglihatan bapa si gadis tadi.

Sedang si gadis yang sedari tadi berdiri di balik tirai bersama ibunya menitiskan air mata mendengar luahan kata-kata si teruna terhadap ayahnya. Tudung pemberian si teruna sebagai hadiah pada hari jadinya yang lepas digenggam erat.

Ibu si gadis juga menitiskan air mata melihat pada kelakuan anaknya. Segera ibu dan si gadis ke ruang tamu menghadap ayahnya.

Ibu Gadis : Apa yang budak tu kata betul. Kita ni tak beratkan pada agama selama ni. Kita sambil lewa abahnya.

Bapa gadis : Hmm.. Ntahlah, tak tahulah saya. Keras betul budak tu kata tadi. Satu-satu kena. Dia pesan tadi, suruh siap, lepas zohor dia jemput kamu.

Gadis : Takde mood nak pegi la ayah.
Si gadis terus mencapai telefon bimbitnya dan menaip mesej.
Si teruna yang selesai mengambil wuduk tersenyum apabila membaca mesej yang baru sahaja diterima daripada si gadis.

"Andai ALLAH telah memilih dirimu untuk ku, aku redho dan akan terus bersama mu, aku juga akan terus pada agama yang ada padamu. Petang ni takde mood nak keluar, sorry.. Dan minggu depan ayah suruh hantar rombongan"


P/S : Jangan confuse antara mas kahwin dengan wang hantaran. Kedua-duanya berbeza. Wang hantaran bukan mas kahwin. Mas kahwin telah ditetapkan oleh Majlis Agama Negeri dan ianya adalah hak bagi seorang isteri. Manakala wang hantaran adalah tidak tetap tetapi berdasarkan tolak ansur antara dua keluarga pihak perempuan dan lelaki. Wang hantaran yang tinggi selalunya dikaitkan dengan perbelanjaan majlis perkahwinan sebelah perempuan. Bila menyentuh bab majlis kahwin, ia lebih banyak ikutan adat dan banyak berlaku pembaziran secara tidak sedar. Adalah sangat sukar untuk menghentikan sesuatu adat atau mengubahnya kerana ianya telah menjadi kebiasaan bagi sesuatu kaum dalam kehidupan. Jadi, perlu ada persefahaman antara kedua-dua pihak tentang pengurangan wang hantaran.